pages

Thursday, February 9, 2017

~ Resipi Rendang Daging Klasik...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Fenomena cuaca sejuk di Sabah yang disebabkan oleh tiupan angin sejuk yang datang dari Siberia merentasi negara rantau Asia Tenggara termasuk Sabah ini akan dapat dirasai sehingga bulan Mac ini. Beberapa hari ini cuaca sejuk juga dapat kami rasakan di W.P.Labuan. Hari ini cuaca sememangnya sejuk. Sejak awal pagi tadi hingga ke tengahari ini, Diana langsung tidak on kipas atau aircond. Pijak lantai pun terasa sejuknya. 

Sejuk-sejuk begini sememangnya perut cepat berbunyi. Melayan perut yang semakin rancak berkeroncang, apa kata kita masuk ke dapur dan nikmati rendang daging bersama pulut kuning. Sedap sangat!

Resipi dari Dapur Tanpa Sempadan ini sememangnya sedap. Terima kasih buat Che Mat Gebu kerana sudi berkongsi resipi rendang daging klasik ini. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya. Terima kasih...



RENDANG DAGING KLASIK

Bahan-Bahan
  • 2 kg daging lembu pejal, dipotong kiub, cuci dan toskan
  • 2 kuntum bunga kunyit, hiris halus'
  • 2 helai daun kunyit, hiris halus
  • 5 helai daun limau purut
  • 2 liter santan ( dari 3 biji kelapa )
  • Air panas secukupnya
  • 5 camca besar penuh kerisik
  • 4 camca besar rempah kari daging Baba's
  • 1 senduk nasi cili kisar
  • 3 keping asam gelugor
  • 2 camca besar hirisan gula melaka
  • Garam secukup rasa

Bahan-Bahan Kisar Halus
  • 2 biji bawang besar, saiz sederhana
  • 18 biji bawang merah
  • 7 ulas bawang putih
  • 10 biji buah keras
  • 1/2 inci belacan
  • 2 inci kunyit hidup
  • 30 biji cili padi
  • 12 batang serai, hiris halus

Bahan Tumis
  • 1 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 8 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 5 biji bawang merah, hiris halus
  • 2 ulas bawang putih, hiris halus

Cara Membuatnya
  1. Satukan bahan kisar halus bersama rempah kari, kacau rata hingga sebati. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisar dan tumis hingga cili garing. Masukan rempah kari + bahan kisar halus tadi dan masak hingga terbit minyak dan rempah garing, guna api sederhana dan kacau selalu.
  2. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga daging kecut. Tuang santan, kacau dan biar mendidih hingga pekat. Masukkan garam ( sedikit dahulu ), kerisik,  asam gelugor dan daun limau purut. Kacau rata dan terus memasak hingga sedikit kering. Kalau masa ini daging masih agak keras, tuang sedikit air panas dan sambung masak, guna api kecil.
  3. Masukkan gula melaka dan sedikit lagi garam. Kacau rata dan masak hingga rendang kering tapi masih lembap. Masuk hirisan bunga dan daun kunyit, gaul rata dan masak lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama ketupat, lemang, nasi dan sebagainya.

CATATAN MAT GEBU :- 
Jangan letak garam banyak2, dikhuatiri daging akan lambat empuk dan rendang anda akan jadi masin bila ia kering nanti. Satu lagi tips yang mat selalu buat, untuk memastikan rendang anda tahan lama, bekas yang anda guna untuk menyimpan rendang harus kering, bersih dan jika menggunakan periuk, panaskan sekejap periuk tadi, kemudian masukkan rendang. JANGAN tutup rapat periuk berisi rendang panas, biarkan ia renggang sedikit, ini untuk mengelakkan wap air yang terkumpul akan masuk kembali dalam rendang anda dan menyebabkan ia cepat basi. Senduk yang anda guna pun harus kering dan bersih...ok tu saja, sekian terima kasih.





No comments:

Post a Comment