Saturday, July 22, 2017

~ Resipi Nasi Tomato, Ayam Masak Merah & Acar Timun Mentah...

Sheery Dream Cakes | 11:50 AM | | | 1 Comment so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Tomato biasanya dihidang semasa majlis perkahwinan, majlis sambutan rumah terbuka di hari perayaan atau ketika keramaian majlis keluarga. Ianya sesuai juga dihidang untuk makan malam atau menu makan tengahari seisi keluarga.

Nasi tomato merupakan menu makan malam kami seisi keluarga beberapa hari yang lepas. Digandingkan bersama ayam masak merah dan acar timun mentah. Nasi tomato ini sesuai juga dimakan bersama pajeri nanas. Tetapi di rumah ni hanya suami Diana sahaja yang suka makan pajeri nanas. Tu yang gandingkan sahaja nasi tomato ni bersama acar timun mentah.

Resipi nasi tomato ini Diana ikut dari blog Akak Ummi. Nasi ni memang sedap di tekak kami seisi keluarga. Memang berbaloi mencubanya. Jika anda ingin mencubanya, bolehlah rujuk resipinya di bawah ya.

Terima kasih buat Akak Ummi kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih.

:: Resipi Oleh ~ Akak Ummi Zaihadi @ Home Sweet Home  ( TQ )

NASI TOMATO 

Bahan-Bahan
  • 3 1/2 cawan beras basmathi Moghul Faiza - basuh dan rendam 15 minit. Toskan. 
  • 4 1/2 cawan air
  • 1 cawan susu sejat Ideal 
  • 2 biji tomato - didadu kecil 
  • 4 sudu besar pes tomato 
  • 2 helai daun pandan - disimpul 
  • 1 sudu besar garam kasar 
  • 4 sudu besar minyak sapi Ghee 
  • 1 cawan kismis
  • 1 cawan gajus yg digoreng / dipanggang 
  • Bawang goreng secukupnya


Bahan Tumis
  • 2 batang kulit kayu manis 
  • 2 kuntum bunga lawang 
  • 3 biji buah pelaga 
  • 7 biji bawang merah - dimayang nipis 


Cara Memasak
  1. Panaskan minyak sapi dalam periuk dan tumiskan bahan tumis hingga naik bau. 
  2. Masukkan tomato, pes tomato dan kacau sebentar. 
  3. Masukkan beras basmathi dan daun pandan. Gaul rata sekejap. 
  4. Masukkan air, susu sejat dan garam. Kacau perlahan sekejap dan biar nampak mendidih sikit. 
  5. Tuangkan ke dalam periuk nasi elektrik ( rice cooker ) dan masak nasi seperti biasa. ( *akak terus tumis dalam periuk elektrik tersebut dan alihkan untuk masak seperti biasa ). 
  6. Bila nasi sudah kering, kaup nasi perlahan-lahan dari bawah ke atas, rata perlahan dan tabur kismis dan gajus. 
  7. Biarkan nasi masak elok. 
  8. Hidangkan dengan taburan bawang goreng, ayam merah tomato dan acar masak atau ( klik untuk resipinya )  acar timun mentah.

Ayam Masak Merah ni memag kegemaran Diana sejak kecil lagi. Diana jenis yang suka makan ayam masak merah yang dicampur dengan sedikit rempah kari. Biasa juga kita jumpa ayam masak merah seperti ini di majlis-majlis perkahwinan dan kenduri sekampung di sini. Cuma Diana jarang memasak ayam masak merah ni sejak beberapa tahun yang lalu. Anak kecil Diana memang kurang suka makan apa sahaja jenis menu yang dimasak merah. Tak kiralah ayam, daging atau makanan laut. Tetapi beberapa hari yang lepas, ada yang teringin nak makan ayam masak merah ni bersama nasi tomato. Baiklah, apa kata kita semak resipinya pula.

:: Resipi Oleh ~ skybluemelleymey

AYAM MASAK MERAH

Bahan-Bahan A
  • 1 ekor ayam _buangkan kulit dan dipotong ikut citarasa
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Bahan-Bahan B ( Dikisar halus )
  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai

Bahan-Bahan C 
  • 2 biji bawang merah _ dihiris nipis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang

Bahan-Bahan D
  • 2 tbsp serbuk kari daging + sedikit air _ ( Diana biasa guna serbuk kari Adabi atau Baba's ) 
  • 2 tbsp sos tomato Maggi _ ( boleh gantikan dengan tomato puri )
  • 1/2 cawan sos cili Maggi _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing
  • 3 tbsp cili boh
  • 1/2 tsp serbuk jintan putih
  • 1/2 tsp serbuk jintan manis
  • 1/2 cawan air atau secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Gula
  • Paste asam jawa jika suka _ ( optional )

Bahan-Bahan E
  • 1 biji bawang besar _ dihiris bulat
  • Daun sup _ dihiris
  • Cili merah  _ buangkan bijinya dan dihiris 
  • Kacang peas frozen atau yang di dalam tin
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis


Cara-Cara
  1. Campurkan kesemua bahan-bahan A dan gaul rata. Perap 10 minit.
  2. Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak tetepi jangan terlalu garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali yang lain. Masukkan bahan-bahan C sehingga wangi.
  4. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan tumis lagi hingga garing.
  5. Masukkan bancuhan serbuk kari, cili boh, serbuk jintan manis dan jintan putih. Gaul dan masak sehingga kari betul-betul masak dan terbit minyak.
  6. Masukkan sos cili, sos tomato / tomato puri, sedikit garam, gula dan jika suka boleh bubuh sedikit paste asam jawa. Gaul rata. Masak sehingga semua bahan mesra.
  7. Tambahkan air, ayam goreng dan kacang peas frozen. Gaul rata dan masak sehingga mendidih dan kuahnya pekat.
  8. Akhir sekali bolehlah dimasukkan hirisan bawang besar dan cili merah. Gaul dan masak seketika.
  9. Tutupkan api dan taburkan hirisan daun sup.
  10. Hidang.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, July 18, 2017

~ Resipi Kek Batik...

Sheery Dream Cakes | 4:22 PM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali bersama resipi Kek Batik lagi. Cuma untuk kali ini, Diana ingin kongsikan resipi olahan terbaru. Mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya atau mungkin hairan kenapa sejak dulu lagi Diana suka kongsikan resipi Kek Batik di blog Diana ni. Sebenarnya Kek Batik merupakan kek kegemaran kami seisi keluarga. Jadi, itulah sebabnya kenapa Kek Batik mempunyai resipi pelbagai versi di blog ini ya.

Jika anda ingin tengok resipi-resipi Kek Batik yang lain, anda boleh klik DI SINI. Anda boleh rujuk resipinya pada link yang Diana berikan itu ya.

Untuk resipi Kek Batik kali ini, tiada jauh bezanya dengan resipi Kek Batik Horlicks Pandan. Ada beberapa bahan sahaja yang membezakannya. Nak tau apakah bahan-bahan tersebut, apa kata kita semak resipi olahan terbaru untuk Kek Batik ni.


Boleh tengok cara menyediakannya di youtube channel Melley Mey


KEK BATIK 

Bahan-Bahan
  • 340 gm mentega
  • 220 gm gula kastor
  • 10 biji telur
  • 260 gm tepung gandum ( diayak )
  • 320 gm susu pekat manis
  • 220 gm milo
  • 200 gm horlicks
  • 3 tbsp nutella _ boleh skip jika tidak suka bubuh nutella
  • 1/2 botol browning sugar ( 1 botol =140 gm ) _ jika suka boleh bubuh 3/4  atau 1 botol
  • 60 gm Nestle nestum original 
  • 1 bungkus biskut Marie Munchy's original atau secukup kegunaan

Cara-Cara
  1. Pukul gula bersama mentega hingga kembang.
  2. Kemudian masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.
  3. Masukkan susu pekat dan pukul lagi.
  4. Tambahkan tepung gandum, horlicks, milo, nestum dan nutella. Pukul adunan hingga sebati.
  5. Masukkan browning sugar dan pukul rata.
  6. Tuangkan adunan ke dalam kuali dan masak sehingga adunan pekat ( rujuk SINI cara memasaknya ).
  7. Tutupkan api. Kemudian masukkan biskut marie dan gaul perlahan.
  8. Masukkan adunan kek tadi ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil dan tekan kek sehingga rata dan padat.
  9. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong. Lebih elok jika dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk.
  10. ** Cara lain untuk melapis kek ~ Sediakan loyang yang telah dilapis dengan aluminium foil dan letakkan sedikit adunan kek tadi. Ratakan.
  11. Kemudian susun biskut marie di atasnya. Lapiskan berselang seli sehingga adunan habis.
  12. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong. 




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Friday, July 14, 2017

~ Resipi Kek Batik Horlicks Pandan...

Sheery Dream Cakes | 11:41 PM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Terlebih dahulu Diana ingin memohon maaf kerana lambat kongsikan resipi Kek Batik Horlicks Pandan ni. Sebenarnya Diana agak sibuk beberapa hari ni membuat kek kukus. Baru sekarang ni ada masa terluang untuk update resipinya di sini.

Kek Batik Horlicks kali ni Diana cuba bubuh perisa pandan. Alhamdulillah.. Seisi keluarga suka makan kek ni. Jika anda suka rasa pandan yang kuat, anda boleh bubuh lebih sedikit perisa pandan tu ya. Baiklah, jom kita semak resipi yang Diana kongsikan untuk hari ni.




Ingin tengok cara membuatnya, anda boleh klik di Channel Melley May 


KEK BATIK HORLICKS PANDAN

Bahan-Bahan
  • 340 gm mentega
  • 220 gm gula kastor
  • 10 biji telur
  • 260 gm tepung gandum
  • 250 gm susu pekat manis
  • 200 gm horlicks
  • 60 gm Nestle nestum original 
  • 1 bungkus biskut Marie Munchy's original atau secukup kegunaan
  • 1/2 tsp perisa pandan ( Diana guna Star Brand ) _ bubuh lebih sedikit jika suka rasa pandan yang kuat dan jangan bubuh jika ingin mengekalkan rasa horlicks 
  • 1 1/2 tsp Koepoe Koepoe pasta perisa & pewarna pandan _ jika tidak bubuh perisa pandan Star Brand, boleh bubuh dalam 2 1/2 tsp
  • Sedikit pewarna hijau

Cara-Cara
  1. Pukul gula bersama mentega hingga kembang.
  2. Kemudian masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.
  3. Masukkan susu pekat dan pukul lagi.
  4. Tambahkan tepung gandum dan pukul seketika.
  5. Masukkan horlicks dan nestum. Pukul adunan hingga sebati.
  6. Masukkan perisa dan pewarna pandan. Pukul rata.
  7. Tuangkan adunan ke dalam kuali dan masak sehingga adunan pekat ( rujuk SINI cara memasaknya ).
  8. Tutupkan api. Kemudian masukkan biskut marie dan gaul perlahan.
  9. Masukkan adunan kek tadi ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil dan tekan kek sehingga rata dan padat.
  10. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong. Lebih elok jika dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk.
  11. ** Cara lain untuk melapis kek ~ Sediakan loyang yang telah dilapis dengan aluminium foil dan letakkan sedikit adunan kek tadi. Ratakan.
  12. Kemudian susun biskut marie di atasnya. Lapiskan berselang seli sehingga adunan habis.
  13. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong. 


** NOTA
  • Jika anda suka rasa pandan, adalah lebih baik bubuh kedua perisa dan pewarna pandan seperti di atas atau lebihkan sedikit perisa pandan Star Brand tersebut dan Koepoe Koepoe pasta perisa tersebut mengikut citarasa masing-masing.
  • Jika anda ingin mengekalkan rasa horlicks, bolehlah skip perisa pandan Star Brand dan bubuh 2 1/2 tsp Koepoe Koepoe pasta perisa & pewarna pandan 



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Monday, July 10, 2017

~ Resipi Red Velvet Cheese Brownies...

Sheery Dream Cakes | 9:27 AM | 2 Comments so far

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Sebut sahaja Red Velvet Cake atau Kek Baldu Merah, pasti akan terbayangkan keenakan kek yang digandingkan bersama cream cheese frosting tu kan. Kek ini sedap juga digandingkan bersama butterceam atau frosting kegemaran masing-masing. Hari ini bukan resipi kek yang hendak dikongsikan, tetapi resipi brownies ya. 

Red Velvet Cheese Brownies ni sudah banyak kali Diana buat. Cuma, belum pernah lagi Diana kongsikannya di sini. Pada bulan ni sahaja sudah 2 kali Diana buat brownies ni. Yang terbaru pada sabtu lepas, 14 Syawal. 

Resipi milik Akak Shiela, Spices Journey ini sememangnya sedap. Menurut akak Shiela, adalah lebih baik jika kita membuat tepung kek tu sendiri. Ini kerana kandungan tepung jagung di dalam tepung kek itu yang akan membuatkan brownies ni lebih sedap. Diana pernah membuat brownies ni denagn menggunakan tepung kek yang sedia ada di pasaran dan juga yang kita buat sendiri. Hasilnya memang ternyata brownies yang menggunakan tepung kek buatan sendiri lebih sedap. Itu di tekak Diana lah ya. Lain orang lain pula citarasanya ya tak?

Experiment bersama bahan berlainan membuat brownies ni tidak berhenti di situ sahaja. Diana pernah juga buat brownies ni tanpa bubuh cuka dan soda seperti yang akak Azlita Masam Manis terangkan di SINI. Memang texture dan rasanya berbeza sedikit. Tetapi keenakan brownies ni tetap sama. Jadi seperti kata akak Azlita, ianya terpulanglah kepada citarasa masing-masing ya.

Baiklah, jom kita semak resipinya pula. Terima kasih buat akak Shiela kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni dan terima kasih juga buat semua yang pernah mengetengahkan resipi ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya.

:: Resipi Oleh ~ Akak Shiela @ Spices Journey  ( TQ )


RED VELVET CHEESE BROWNIES

Bahan-Bahan Brownies
  • 250 gm high grade butter
  • 1/2 cawan minyak jagung
  • 2 sudu besar serbuk koko
  • 200 ml natural yogurt
  • 1 1/4 cawan gula kastor
  • 2 biji telur gred A
  • 2 cawan tepung kek
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu teh soda bikarbonate
  • 1 sudu teh cuka atau jus lemon
  • 1 sudu teh pewarna merah

** NOTE : 
Tepung kek BUKAN tepung naik sendiri / self raising flour ya. Jangan silap, nanti texturenya akan berbeza. Sebaiknya kita buat sendiri tepung kek tersebut : 
  • Bagi sukatan 1 cawan, masukkan 2 sudu besar tepung jagung dan penuhkan selebihnya dengan tepung gandum. Ayak sebelum digunakan.
Kandungan tepung jagung dalam kek yang membuat rasanya lebih sedap selain menggunakan bahan yang berkualiti untuk mendapatkan kek yang betul-betul sedap.


Cara-Cara
  1. Sediakan loyang 4 segi bersaiz 9 x 9 inc atau 10 x 10 inc, alas dengan kertas minyak dan ketepikan.
  2. Panaskan oven pada suhu 175°C.
  3. Cairkan mentega dan minyak jagung dengan kaedah double boiler hingga larut, kemudian sejukkan sebentar.
  4. Ayak tepung kek bersama serbuk koko, ketepikan.
  5. Yogurt dicampurkan pewarna merah, kacau sebati dan ketepikan.
  6. Dalam mixer, pukul telur dan gula hingga sebati.
  7. Kemudian masukkan minyak jagung dan butter yang telah dicairkan dan gaul sebati.
  8. Masukkan yogurt yang telah dicampur pewarna merah dan pukul sebentar hingga mesra.
  9. Selepas itu, masukkan campuran tepung dan koko sedikit demi sedikit sambil diadun hingga rata.
  10. Tuangkan esen vanilla dan gaul rata.
  11. Asingkan 2 atau 3 sudu besar adunan ini untuk dibuat corak di atas adunan cheese nanti.
  12. Akhir sekali campurkan soda dan cuka atau jus lemon di dalam bekas kecil. Kacau dan tuang cepat-cepat ke dalam adunan. Gaul rata dengan pantas.
  13. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar pada suhu 175°C selama 40-50 minit  atau sehingga brownies masak bergantung pada kapasiti oven masing-masing.
  14. Sementara menunggu brownies kita masak, kita sediakan lapisan cheese pula.


Bahan-Bahan Lapisan Cheese ( Diana buat 2 kali adunan di bawah )
  • 350 gm cream cheese
  • 1 cawan gula icing
  • 1 biji telur gred A
  • 1 sudu besar jus lemon atau lemon paste


Cara-Cara
  1. Putarkan cream cheese hingga berkrim.
  2. Masukkan gula icing dan pukul sebati
  3. Kemudian masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.
  4. Masukkan jus lemon dan putar lagi.
  5. Tuangkan di atas brownies yang telah masak tadi dan ratakan ( tak perlu sejukkan brownies terlebih dahulu ).
  6. Isikan adunan brownies yang diasingkan tadi ke dalam piping beg dan kemudian lorekkan mengikut kreativiti masing-masing.
  7. Masukkan semula dalam oven dan bakar selama 30 minit atau hingga masak. 
  8. Bila dah masak sejukkan hingga betul-betul sejuk barulah di potong dan di hidangkan.

** Diana kurangkan suhunya kepada 150°C dan setelah ianya masak, Diana biarkan ianya di dalam oven tanpa kuasa selama 10 minit. Kemudian keluarkan brownies dan sejukkan.



::  Ini brownies yang dibubuh soda dan cuka dan menggunakan 2 loyang 8x3 inc  ::



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Sunday, July 9, 2017

~ Resipi Biskut Dahlia...

Sheery Dream Cakes | 11:08 AM | Be the first to comment!
 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Salah satu biskut raya tahun ni yang Diana buat ialah Biskut Dahlia. Biskut yang wajib ada setiap tahun semasa lebaran. Biskut ni merupakan biskut kegemaran anak kecil Diana. Sejak dia di sekolah tadika lagi dia akan minta Diana buatkan biskut Upin & Ipin katanya. Inilah biskut Upin & Ipin jika ada anak-anak kecil kita minta buatkan ya. Hehhee.. 

Pada mulanya tu Diana pun agak kelam kabut juga fikir apakah dan macam manakah rupa biskut Upin & Ipin ni kan. Ingatkan bentuk biskut tu macam rupa Upin & Ipin. Rupanya setelah disoal selidik, alahai!!! Biskut Dahlia yang dimaksudkan.. Hahahaa... Di dalam cerita Upin & Ipin ada kisah mengenai kuih yang Kak Ros buat untuk Opah dia. Biskut tu memang rupanya macam biskut Dahlia ni. Tajuknya Rindu Opah. Hehehe... Sampai sekarang dia masih panggil biskut ni biskut Upin & Ipin.

Resipi biskut Dahlia yang Diana selalu buat Diana ikut dari blog Che Mat Gebu @ Adnan Ibrahim. Resipi ni memang terbaik. Sedap! Terima kasih buat Che Mat kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni ya. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula. Terima kasih.


BISKUT DAHLIA

Bahan-Bahan
  • 300 g mentega ( SCS, Anchor, atau mentega pilihan anda ) 
  • 160 g gula aising ( mat guna 140 g ) 
  • 2 kuning telur 
  • 1 camca teh esen vanilla ( mat guna beberapa titik esen rose ) 
  • 240 g tepung gandum* 
  • 100 g tepung jagung* 
  • 160 g tepung kastard*gaul rata dan diayak 
  • Ceri merah, dipotong kecil untuk hiasan 

Cara-Cara

  1. Putar mentega dan gula aising hingga bersatu ( jangan sampai kembang ), masukkan kuning telur dan esen vanilla/rose dan putar hingga sebati. 
  2. Perlahankan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Adunan akan menjadi doh yang lembut dan boleh ditekan.
  3. Masukkan doh ke dalam alat penekan yang dipasang muncung untuk biskut dahlia. Tekan atas dulang pembakar. Buat hingga siap dan hias dengan sepotong kecil ceri. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170°C selama 25 minit. Bergantung pada ketebalan biskut. Bakar hingga kuning keemasan. 
  4. Biarkan biskut sejuk sedikit atas dulang pembakar sebelum dialihkan ke atas jaringan. Biar sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, July 8, 2017

~ Resipi Kek Kukus Lapis Asam Manis Coklat...

Sheery Dream Cakes | 8:38 AM | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Betapa masa berdetik begitu pantas sehingga tidak terasa hari demi hari berlalu meninggalkan kita semua. Sungguh hari-hari itu terasa singkat. Semoga kita semua sentiasa di dalam redha dan rahmatNya. In Shaa Allah hari mendatang akan lebih baik dari sebelumnya. Hari ini 14 Syawal 1438 H. Masih banyak jemputan rumah terbuka diterima. In Shaa Allah.. kami akan berkunjung nanti dan Terima Kasih atas jemputannya ya.

Hari ini Diana ingin kongsikan resipi Kek Kukus Lapis Asam Manis Coklat. Resipi sama sahaja dengan versi yang lepas ( klik DI SINI ) cuma Diana tambah coklat di dalam adunan kek tu. Caranya pun mudah sahaja. Tak perlu nak susun haw flakes tu satu persatu. Haw flakes tu Diana cincang kasar dan bubuh di dalam adunan kek sebelum dikukus. Jika ingin sedikit kelainan di dalam rasa kek kukus lapis asam manis ni, bolehlah mencuba resipi di bawah ni ya.


KEK KUKUS LAPIS ASAM MANIS COKLAT

Bahan-Bahan 
  • 5 biji telur
  • 250 gm mentega
  • 1 3/4 cawan biskut cap ping pong Hup Seng Cream Crackers yang telah dikisar halus
  • 1/2 cawan gula kastor 
  • 1/2 tin kecil susu pekat manis ( 194 gm )
  • 1 tsp esen vanilla
  • 1 tsp baking powder
  • 120 gm haw flakes_ dicincang kasar ( boleh dikurangkan kepada 100 gm jika anda menambah sukatan coklat )
  • 100 gm coklat masakan _ dicincang kasar ( boleh ditamah jika suka rasa coklat yang lebih kuat )
  • Pewarna hijau, oren dan kuning atau warna pilihan masing-masing


Cara-Cara 
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil semasa mengukus kek.
  2. Mentega dan gula diputar sehingga kembang.
  3. Kemudian masukkan telur dan putar lagi
  4. Campurkan baking powder dan putar. Masukkan pula susu pekat dan putar sebati.
  5. Setelah itu masukkan cream crackers kisar dan esen vanilla. Putar hingga adunan sebati.
  6. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian.
  7. 1 bahagian bubuh 60 gm haw flakes cincang + pewarna oren, 1 bahagian lagi bubuh juga 60 gm haw flakes cincang +  pewarna hijau dan sebahagian lagi tambahkan coklat cincang + pewarna kuning. ( Jika anda suka rasa coklat yang lebih kuat, bolehlah di bubuh 2 bahagian adunan kek untuk coklat dan tambahkan sukatan coklat serta kurangkan sukatan haw flakes cincang kepada 100 gm sahaja ).
  8. Ambil sedikit adunan oren dan ratakan di dalam loyang bersaiz 8 inci yang telah dilapis dengan aluminium foil. Kukus sehingga masak. Setelah ianya masak, cucuk beberapa lubang dengan lidi / cake tester. Tekan secara lembut dengan sudu plastik.
  9. Lapis lagi di atasnya dengan adunan warna kuning. Buat begini sehingga adunan  kek habis digunakan.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Thursday, July 6, 2017

~ Resipi Nasi Minyak Hujan Panas Bersama Kari Terung & Ayam Masak Kurma...

Sheery Dream Cakes | 10:13 AM | | | Be the first to comment!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Minyak Hujan Panas ini merupakan menu makan malam kami 2 hari lepas yang Diana gandingkan dengan kari terung bersama ayam masak kurma. Agak lama juga Diana tidak memasak nasi minyak hujan panas. Kali ini Diana mencuba resipi dari Makyong pula. Alhamdulillah.. Sedap di tekak kami sekeluarga. Sukatan airnya tu Diana tambah kepada 6 cawan sebab sudah biasa Diana masak dengan sukatan beras Moghul Faiza. 

Sebenarnya ada permintaan untuk ayam masak kurma ni. Katanya rindu nak makan ayam masak kurma masakan mummy dia ni. Kali terakhir memasak ayam masak kurma pada bulan lepas semasa bulan Ramadhan. Masak untuk berbuka puasa. Rumah terbuka Hari Raya baru-baru ni pun bukan Diana yang masak kurma ayam. Rupanya ada yang rindu masakan mummy dia. Hehehe...

Baiklah, kita terus sahaja tengok resipi Nasi Minyak Hujan Panas yang sedap ini. Terima kasih buat Makyong dan Hasue. Izinkan pula Diana panjangkan resipi ini di sini ya.

:: Resipi Oleh ~  Makyong@myresepi.com  ( TQ )
:: Sumber ~ HaSue @ I Love My Life  ( TQ )

NASI MINYAK HUJAN PANAS
( Untuk 5 orang )

Bahan-Bahan
  • 4 cawan beras basmati _ ( Diana guna beras Moghul Faiza Basmathi )
  • 5 cawan air _ Diana bubuh 6 cawan air
  • 2 kiub ayam 
  • Pewarna merah, kuning dan hijau

Bahan Tumis

  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Hiasan

  • Bawang goreng
  • Kismis
  • Biji gajus goreng

Cara-Cara
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang.
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi.
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak.
  7. Bila nasi sudahkering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila nasi sudah masak masak, gembur-gemburkan nasi itu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka.

**NOTE Diana~ 
Untuk sukatan airnya tu, Diana bubuh 6 cawan mengikut seperti sukatan yang Diana masak harian di rumah ni. 


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley


KARI TERUNG


Bahan-Bahan
  • Terung _ dipotong mengikut citarasa masing-masing
  • Serbuk kari daging Baba's
  • Santan pekat / santan dalam kotak
  • Air 
  • Garam
  • Gula
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Tumbuk
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Udang kering _ direndam di dalam air panas hingga lembut, bersihkan dan toskan
  • Sedikit belacan 

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan-bahan tumbuk. Tumis sehingga naik aromanya.
  2. Masukkan sedikit gula. Tumis lagi sehingga garing.
  3. Masukkan serbuk kari, sedikit garam dan sedikit air. Gaul dan tumis sehingga kari betul-betul masak.
  4. Masukkan terung dan gaul rata. 
  5. Setelah terung layu, bolehlah dimasukkan air. Gaul dan masak seketika.
  6. Tambahkan santan dan gaul. Biarkan ianya mendidih.
  7. Sesuaikan rasa dan tambahkan garam serta gula jika perlu. Setelah terung masak, tutupkan api.
  8. Hidang bersama nasi putih panas atau nasi minyak.


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley
:: Entri lepas boleh klik DI SINI


AYAM MASAK KURMA

Bahan-Bahan
  • 1 kg ayam _ dipotong kecil-kecil
  • 70 gm rempah kurma Adabi ( boleh dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • 2 biji cili merah _ dibelah dan buang bijinya
  • 2 biji bawang besar _ dibelah 4 
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 70 gm kerisik
  • 2 tbsp gula
  • 2 tbsp susu pekat
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air panas
  • 200 ml santan pekat
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Dikisar Halus
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 batang serai


Cara-Cara
  1. Campurkan gula, rempah kurma dan air panas. Gaul rata. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar sehingga terbit aromanya. 
  3. Masukkan campuran rempah kurma tadi. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Tutup penutup periuk dan masak sehingga ayam empuk.
  5. Setelah itu, bolehlah dimasukkan santan pekat dan air secukupnya mengikut citarasa masing-masing.
  6. Tambahkan air asam jawa, susu pekat dan garam secukup rasa.
  7. Masukkan kerisik. Gaul dan masukkan pula bawang besar dan cili merah. Masak seketika.
  8. Angkat dan hidang.


BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>