Thursday, August 31, 2017

~ Chinese Rice Dumpling ( Chang Ayam )...

Sheery Dream Cakes | 5:39 PM | | Be the first to comment!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah hari ini negara kita Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 60. Selamat Hari Merdeka Malaysia. Esok kita umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Selamat Hari Raya Aidiladha dan selamat bercuti semua. 

Baiklah, hari ini tiada cerita yang hendak dikongsikan bersama. Apa kata kita cuci mata dengan gambar-gambar chang ayam yang Diana buat kelmarin. Jika hendak mencubanya, anda boleh rujuk resipinya di entri lepas  DI SINI atau  DI SINI atau bole juga rujuk di bawah ya.


CHINESE RICE DUMPLING ( CHANG AYAM )

Bahan-Bahan
  • Beras pulut _ cuci dan toskan ( jika hendak rendam pun boleh tapi Diana tidak suka merendam beras tu sebab ia akan nampak hancur setelah siap direbus nanti ).
  • Daun pandan / Daun buluh kering ( boleh di dapati di kedai-kedai yang menjual bahan-bahan untuk Chang ).
  • Tali pengikat Chang yang dibuat dari kulit  batang pisang  atau sejenis lalang / rumput kering _ rendam terlebih dahulu sebelum digunakan.

Bahan-Bahan Inti
  • Dada ayam _ dibersihkan dan dipotong nipis
  • Cendawan shiitake kering _ direndam dan dipotong kecil  
  • Dried chestnuts _ rebus hingga lembut dan buang sisa kulit yang masih ada / selaput merah pada chestnuts
  • Rebung dalam tin _ dihiris nipis
  • Preserved Vegetable / sayur asin _ rendam sekejap dan dibersihkan
  • Bawang merah _ dicincang halus
  • Bawang putih _ dicincang halus
  • Serbuk lada putih
  • Rempah 5 ( 5 spices ) _ optional
  • Garam
  • Perencah pati ayam Tumix _ optional
  • Kicap pekat Yot Brand /  Kicap pekat manis

**Boleh juga dicampur dengan bahan-bahan seperti daging, udang kering, scallops, salted egg yolk dan ianya terpulang pada citarasa masing-masing.

Cara-Cara Menyediakan Inti
  1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan ayam, rebung, cendawan dan preserved vegetable. Masak seketika.
  3. Campurkan garam, kicap pekat, serbuk lada putih dan rempah 5.
  4. Masak hingga bahan² empuk dan sedikit garing.
  5. Angkat dan biarkan sejuk seketika. 
  6. Ketepikan.

Cara-cara Menyediakan Berasnya
  1. Tumiskan bawang merah dan bawang putih dengan sedikit minyak hingga wangi.
  2. Masukkan beras pulut, garam dan kicap pekat. Masak seketika.
  3. Angkat.

Cara-cara Membungkus Chang
  1. Ambil sehelai daun pandan atau daun buluh ( letakkan daun pandan sepanjang 2 inci di dalamnya jika menggunakan daun buluh ) dan lipat membentuk seperti kon. 
  2. Isikan sedikit beras pulut dan isikan sedikit inti ayam di atasnya.
  3. Masukkan juga sebiji atau beberapa biji chestnuts dan kemudian tutup atasnya dengan beras pulut semula.
  4. Lipat / bungkus chang dengan kemas dan ikat menggunakan tali pengikat chang. 
  5. Masukkan chang ke dalam air mendidih ( jumlah air mesti melebihi paras chang ) sehingga Chang Ayam masak. 
  6. Biasanya masa merebus tidak kurang dari 1 jam 30 minit ( Diana biasanya merebus chang selama 2 jam lamanya). Tapi ia bergantung juga kepada saiz bungkusan chang yang kita buat.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Wednesday, August 2, 2017

~ Resipi Asam Pedas Daging...

Sheery Dream Cakes | 9:34 AM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Resipi asam pedas daging ini milik Che Mat Gebu. Sesiapa yang pernah mencubanya mesti tahu yang resipi ni memang sangat sedap. Diana sudah beberapa kali memasak asam pedas daging menggunakan resipi ni. Semasa rumah terbuka Raya Aidilfitri anak perempuan Diana baru-baru ni pun Diana masak asam pedas daging menggunakan resipi Che Mat Gebu ni. Memang ramai yang kata sedap. Tetamu ketika itu rata-rata suka makan asam pedas daging ni. Ada antara mereka yang bertanyakan resipinya. 

Kepada yang ingin mencubanya bolehlah semak resipinya di bawah ya. Buat Che Mat Gebu, terima kasih di atas kesudian Che Mat berkongsi resipi yang sedap ini. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya. Terima kasih.


ASAM PEDAS DAGING

Bahan-Bahan
  • 600 gram daging lembu
  • 1 batang serai, diketuk
  • 1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
  • 1 genggam daun kesom
  • 1 camca teh lada hitam kisar
  • 2 senduk nasi cili kisar
  • 3/4 camca teh serbuk kunyit
  • 1/2 camca teh pes asam jawa (atau secukup rasa)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya

Bahan-Bahan Kisar Halus
  • 7 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas

Cara-Cara
  1. Daging dihiris nipis, cuci dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk ( anggaran 1/3 cawan ). Tumis serai dan bahan-bahan kisar halus hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tambah daging dan daun kesom, kacau hingga daging kecut. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masak hingga daging empuk ( jika daging masih keras dan kuah kering, tambah air sedikit air panas ). Masukkan pes asam jawa dan bunga kantan. Kacau dan biar mendidih.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa, sedikit gula dan lada hitam kisar. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk lain.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, August 1, 2017

~ Kek Kukus Lapis Horlicks Keju...

Sheery Dream Cakes | 12:31 PM | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali bersama resipi kek kukus pada hari ni. Kek kukus lapis merupakan salah satu kek kegemaran seisi keluarga. Oleh sebab masih banyak stock cream cheese di rumah ni dan kebetulan pula ada yang teringin nak makan kek kukus lapis, jadi Diana buatlah kek kukus lapis yang dicampurkan dengan cream cheese. 

Resipi kek kukus lapis ni memang tidak jauh bezanya dengan Kek Kukus Lapis Horlicks Oatmeal yang pernah Diana kongsikan dulu. Cuma bezanya kali ini Diana bubuh beberapa bahan lain di dalam resipi ini untuk mendapatkan kek kukus lapis yang lebih moist dari yang lepas. Kenapa Diana masih mengekalkan resipi ini dan hanya menambah beberapa bahan sahaja? Semestinya resipi kek kukus lapis inilah yang digemari seisi keluarga. Itulah sebabnya Diana masih menggunakan bahan-bahan asas resipi yang lepas.

Jom semak resipinya di bawah.

KEK KUKUS LAPIS HORLICKS KEJU

Bahan-Bahan
  • 10 biji telur
  • 300 gm mentega berkualiti tinggi _ ( Diana biasa guna Anchor, SCS atau Golden Churn )
  • 120 gm minyak sapi
  • 200 gm cream cheese
  • 190 gm gula kastor _ ( kurangkan sukatan gula jika tidak suka manis dan bubuh 220 gm jika suka manis )
  • 1 tin kecil susu pekat manis ( 390 gm )
  • 170 gm Nestle cream
  • 1 tin sederhana seri kaya Yeo's ( 300 gm )
  • 1 botol kecil jem strawberry ( 170 gm )
  • 130 gm Nestle cerelac bijirin bayi ( gandum & madu )
  • 220 gm biskut Hup Seng cream crackers yang telah dikisar halus
  • 200 gm horlicks
  • 50 gm haw flakes kisar


Cara-Cara
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil / tuala bersih semasa mengukus kek. 
  2. Asingkan putih dan kuning telur. 
  3. Pukul putih telur bersama gula kastor sehingga kembang. Ketepikan.
  4. Kemudian pukul mentega bersama minyak sapi dan cram cheese sehingga sebati.
  5. Masukkan kuning telur dan pukul hingga kembang.
  6. Setelah itu, campurkan adunan putih telur dan gula halus tadi. Pukul rata.
  7. Masukkan Nestle cream dan pukul lagi hingga sebati.
  8. Masukkan susu pekat manis, seri kaya, jem strawberry, cerelac, biskut cream crackers kisar, haw flakes kisar serta horlicks. Pukul lagi hingga rata.
  9. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Warnakan adunan dengan warna pilihan pada setiap bahagian.
  10. Tuangkan satu adunan dan masukkan ke dalam loyang bersaiz 8" yang telah dialas dengan aluminium foil. Kukus sehingga kek masak.
  11. Setelah itu cucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester pada kek dan tekan dengan lembut dengan sudu plastik lembut. Lapis lagi dengan satu adunan warna berlainan dan kukus sehingga adunan kek masak.
  12. Buat begini sehingga adunan kek habis.
  13. Jangan lupa setiap kali kita membuat kek kukus, hendaklah dicucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester dan tekan secara lembut dengan sudu plastik sebelum melapis adunan seterusnya. 
  14. Untuk lapisan terakhir, masa mengukusnya hendaklah ditambah selama 30 minit supaya kek masak sekata secara keseluruhannya.
  15. Sejukkan dan simpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum di potong dan dihidang.
  16. Masa untuk mengukus kek ini dalam 3 1/2 - 4 jam lamanya menggunakan api sederhana.

** NOTA ~
  • Kita boleh mengurangkan masa mengukus dengan melapis adunan kek ini nipis-nipis.
  • Sukatan gulanya tu boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing. 



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>