Tart Nanas merupakan biskut raya yang popular dan menjadi kegemaran sepanjang zaman. Sudah menjadi satu kemestian sejak zaman nenek moyang kita lagi biskut ini ada terhidang di meja untuk hidangan di Hari Raya.
Di zaman kanak-kanak Diana dulu, pelbagai biskut raya disediakan oleh mama Diana. Seronok rasanya ketika itu sebab kami menyediakan biskut raya sendiri bagi persiapan menyambut ketibaan Syawal.
Berbeza dengan zaman sekarang, ramai sudah yang menjual pelbagai jenis biskut raya. Zaman semakin berkembang, banyak pilihan dengan pelbagai rasa dan rupa bentuk yang terdapat di pasaran. Ada juga resipi-resipi asal diolah dan ditambah dengan keju bagi menyesuaikan selera pelanggan di zaman ini. Diana juga tidak ketinggalan untuk membeli biskut homemade setiap tahun sebelum tibanya Syawal. Diana hanya buat biskut sebelum tibanya Ramadhan untuk hidangan keluarga Diana. Untuk hidangan Hari Raya biasanya Diana akan beli sahaja. Cuma ada 2 atau 3 jenis biskut sahaja yang Diana akan buat.
Dua hari lepas, Diana sempat buat Tart Nanas. Resipi dari Akak Anim ini sememangkan sedap. Pastrinya yang rapuh, gebu dan cair di mulut apabila dimakan. Biskut ini sememangnya membuatkan anda tidak akan berhenti untuk mengunyah lagi dan lagi. Memang berbaloi mencuba resipi dari akak Anim ini.
Cuma untuk kali ini, Diana ada tambah sedikit dengan cream cheese di dalam adunan pastrinya. Ampun ya akak Anim, Diana derhaka sedikit dengan resipi ni. Harap akak izinkan dan halalkan ya.
Terima kasih buat Akak Anim kerana sudi berkongsi resipi Tart Nanas Gebu yang sedap ini. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih akak..
:: Resipi Oleh ~ Akak Anim @ My Kitchen ( TQ )
TART NANAS CHEESE
Bahan-Bahan Pastri
- 4 oz butter - 115 gram
- 4oz minyak sapi - 115 gram
- 1 biji telur gred B
- 1 lb tepung gandum - 450 gram
- Sedikit garam
- Air sejuk _ jika perlu
- 100 gram cream cheese _ ( Diana tambah )
Cara-Cara
- Pecahkan telur di dalam bekas adunan.
- Masukkan butter, minyak sapi dan cream cheese. Gaul hingga sebati dengan hanya menggunakan whisk.
- Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul sebati sehingga menjadi doh yang lembut ( Akak tidak menggunakan air sejuk tapi setelah adunan menjadi doh letakkan sebentar di dalam peti ais).
- Dengan menggunakan acuan tart, tekan adunan dan bentukkan tart mengikut kesesuaian anda.
- Jika letak inti yang banyak maka dapatlah tart yang tebal. Bakar pada suhu 170°C-180°C selama 20-25 minit
Bahan-Bahan Inti
- 10 biji nanas _ disagat dan toskan airnya
- 3 kampit gula
- Sedikit pewarna kuning
Cara-Cara
- Masukkan nanas dan gula ke dalam periuk yang sesuai. Gaul dan masak sehingga hampir kering.
- Masukkan pewarna kuning dan gaul.
- Kacau sehingga kering di atas api yang perlahan.