Wednesday, August 2, 2017

~ Resipi Asam Pedas Daging...

Sheery Dream Cakes | 9:34 AM |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Resipi asam pedas daging ini milik Che Mat Gebu. Sesiapa yang pernah mencubanya mesti tahu yang resipi ni memang sangat sedap. Diana sudah beberapa kali memasak asam pedas daging menggunakan resipi ni. Semasa rumah terbuka Raya Aidilfitri anak perempuan Diana baru-baru ni pun Diana masak asam pedas daging menggunakan resipi Che Mat Gebu ni. Memang ramai yang kata sedap. Tetamu ketika itu rata-rata suka makan asam pedas daging ni. Ada antara mereka yang bertanyakan resipinya. 

Kepada yang ingin mencubanya bolehlah semak resipinya di bawah ya. Buat Che Mat Gebu, terima kasih di atas kesudian Che Mat berkongsi resipi yang sedap ini. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya. Terima kasih.


ASAM PEDAS DAGING

Bahan-Bahan
  • 600 gram daging lembu
  • 1 batang serai, diketuk
  • 1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
  • 1 genggam daun kesom
  • 1 camca teh lada hitam kisar
  • 2 senduk nasi cili kisar
  • 3/4 camca teh serbuk kunyit
  • 1/2 camca teh pes asam jawa (atau secukup rasa)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya

Bahan-Bahan Kisar Halus
  • 7 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas

Cara-Cara
  1. Daging dihiris nipis, cuci dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk ( anggaran 1/3 cawan ). Tumis serai dan bahan-bahan kisar halus hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tambah daging dan daun kesom, kacau hingga daging kecut. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masak hingga daging empuk ( jika daging masih keras dan kuah kering, tambah air sedikit air panas ). Masukkan pes asam jawa dan bunga kantan. Kacau dan biar mendidih.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa, sedikit gula dan lada hitam kisar. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk lain.



0 comments: