Sebut sahaja Red Velvet Cake atau Kek Baldu Merah, pasti akan terbayangkan keenakan kek yang digandingkan bersama cream cheese frosting tu kan. Kek ini sedap juga digandingkan bersama butterceam atau frosting kegemaran masing-masing. Hari ini bukan resipi kek yang hendak dikongsikan, tetapi resipi brownies ya.
Red Velvet Cheese Brownies ni sudah banyak kali Diana buat. Cuma, belum pernah lagi Diana kongsikannya di sini. Pada bulan ni sahaja sudah 2 kali Diana buat brownies ni. Yang terbaru pada sabtu lepas, 14 Syawal.
Resipi milik Akak Shiela, Spices Journey ini sememangnya sedap. Menurut akak Shiela, adalah lebih baik jika kita membuat tepung kek tu sendiri. Ini kerana kandungan tepung jagung di dalam tepung kek itu yang akan membuatkan brownies ni lebih sedap. Diana pernah membuat brownies ni denagn menggunakan tepung kek yang sedia ada di pasaran dan juga yang kita buat sendiri. Hasilnya memang ternyata brownies yang menggunakan tepung kek buatan sendiri lebih sedap. Itu di tekak Diana lah ya. Lain orang lain pula citarasanya ya tak?
Experiment bersama bahan berlainan membuat brownies ni tidak berhenti di situ sahaja. Diana pernah juga buat brownies ni tanpa bubuh cuka dan soda seperti yang akak Azlita Masam Manis terangkan di SINI. Memang texture dan rasanya berbeza sedikit. Tetapi keenakan brownies ni tetap sama. Jadi seperti kata akak Azlita, ianya terpulanglah kepada citarasa masing-masing ya.
Baiklah, jom kita semak resipinya pula. Terima kasih buat akak Shiela kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni dan terima kasih juga buat semua yang pernah mengetengahkan resipi ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya.
:: Resipi Oleh ~ Akak Shiela @ Spices Journey ( TQ )
RED VELVET CHEESE BROWNIES
Bahan-Bahan Brownies
- 250 gm high grade butter
- 1/2 cawan minyak jagung
- 2 sudu besar serbuk koko
- 200 ml natural yogurt
- 1 1/4 cawan gula kastor
- 2 biji telur gred A
- 2 cawan tepung kek
- 1 sudu teh esen vanilla
- 1 sudu teh soda bikarbonate
- 1 sudu teh cuka atau jus lemon
- 1 sudu teh pewarna merah
Tepung kek BUKAN tepung naik sendiri / self raising flour ya. Jangan silap, nanti texturenya akan berbeza. Sebaiknya kita buat sendiri tepung kek tersebut :
- Bagi sukatan 1 cawan, masukkan 2 sudu besar tepung jagung dan penuhkan selebihnya dengan tepung gandum. Ayak sebelum digunakan.
Kandungan tepung jagung dalam kek yang membuat rasanya lebih sedap selain menggunakan bahan yang berkualiti untuk mendapatkan kek yang betul-betul sedap.
Cara-Cara
- Sediakan loyang 4 segi bersaiz 9 x 9 inc atau 10 x 10 inc, alas dengan kertas minyak dan ketepikan.
- Panaskan oven pada suhu 175°C.
- Cairkan mentega dan minyak jagung dengan kaedah double boiler hingga larut, kemudian sejukkan sebentar.
- Ayak tepung kek bersama serbuk koko, ketepikan.
- Yogurt dicampurkan pewarna merah, kacau sebati dan ketepikan.
- Dalam mixer, pukul telur dan gula hingga sebati.
- Kemudian masukkan minyak jagung dan butter yang telah dicairkan dan gaul sebati.
- Masukkan yogurt yang telah dicampur pewarna merah dan pukul sebentar hingga mesra.
- Selepas itu, masukkan campuran tepung dan koko sedikit demi sedikit sambil diadun hingga rata.
- Tuangkan esen vanilla dan gaul rata.
- Asingkan 2 atau 3 sudu besar adunan ini untuk dibuat corak di atas adunan cheese nanti.
- Akhir sekali campurkan soda dan cuka atau jus lemon di dalam bekas kecil. Kacau dan tuang cepat-cepat ke dalam adunan. Gaul rata dengan pantas.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar pada suhu 175°C selama 40-50 minit atau sehingga brownies masak bergantung pada kapasiti oven masing-masing.
- Sementara menunggu brownies kita masak, kita sediakan lapisan cheese pula.
Bahan-Bahan Lapisan Cheese ( Diana buat 2 kali adunan di bawah )
- 350 gm cream cheese
- 1 cawan gula icing
- 1 biji telur gred A
- 1 sudu besar jus lemon atau lemon paste
- Putarkan cream cheese hingga berkrim.
- Masukkan gula icing dan pukul sebati
- Kemudian masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.
- Masukkan jus lemon dan putar lagi.
- Tuangkan di atas brownies yang telah masak tadi dan ratakan ( tak perlu sejukkan brownies terlebih dahulu ).
- Isikan adunan brownies yang diasingkan tadi ke dalam piping beg dan kemudian lorekkan mengikut kreativiti masing-masing.
- Masukkan semula dalam oven dan bakar selama 30 minit atau hingga masak.
- Bila dah masak sejukkan hingga betul-betul sejuk barulah di potong dan di hidangkan.
** Diana kurangkan suhunya kepada 150°C dan setelah ianya masak, Diana biarkan ianya di dalam oven tanpa kuasa selama 10 minit. Kemudian keluarkan brownies dan sejukkan.
:: Ini brownies yang dibubuh soda dan cuka dan menggunakan 2 loyang 8x3 inc ::