Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..
Baiklah.. Ini merupakan entri terakhir untuk minggu ini. Entri tertangguh juga sebenarnya ni. Waktu Diana mengambil gambar ni, cuaca memang tidak elok. Hujan ribut di sini. Memang sukar untuk dapatkan pencahayaan dari sinar matahari ketika tu.
Tapi yang seronoknya masa tu, dapat makan kuih bakar daging ni semasa hujan. Hehhehe... Resipi Kuih Bakar Daging dari blog akak Fauziah @ Kak Jee sememangnya sangat sedap. Sedap sesangat. Sudah lama Diana teringin hendak membuatnya. Malangnya Diana tidak dapat mencari acuan kuih bakar ni. Bukan tidak boleh menggunakan acuan lain, tetapi Diana teringin juga membuatnya di dalam acuan ni. Cari sampai ke Kota Kinabalu pun Diana tidak jumpa-jumpa. Akhirnya minggu lepas dapat belinya di Labuan juga. Alhamdulillah.
Terima kasih buat Kak Jee di atas resipi yang sedap ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih.
:: Resipi Oleh ~ Akak Fauziah Samad @ Kak Jee
KUIH BAKAR DAGING
Bahan-Bahan Inti
Bahan-Bahan A
- 250 gms daging ( 1/4 kg ) _ dicincang halus
- 1 1/2 sudu besar rempah daging ( kjee guna baba's )
- 1 labu bawang besar _ dicincang
- Sedikit daun sup _ ( Diana tambah )
- Garam/aji secukup rasa
Bahan-Bahan A
- 3 cawan tepung gandum
- 3 cawan santan cair/susu cair/susu rendah lemak
- 3 cawan air
- 5 biji telur
- Sedikit garam
- Sedikit pewarna kuning
- Daun bawang
- Minyak sapi/margerin
Cara-Cara
- :: Untuk inti ~ Panaskan kuali dan bubuh 1 sudu besar minyak dan tumis bawang sehingga kekuningan.
- Masukkan rempah dan goreng sampai wangi.
- Kemudian masukkan daging dan masak sehingga kering.
- Angkat dan sejukkan. Ketepikan.
- :: Untuk adunan tepung ~ Pukul telur hingga kembang. Masukkan semua bahan cecair ( susu dan air ). Kacau sampai rata.
- Masukkan tepung dan kacau hingga sebati. Kalau tak halus, masukkan ke dalam blender sedikit demi sedikit dan kisar supaya halus.
- Bubuh sedikit pewarna kuning dan sedikit garam ( Jangan banyak sangat garam sebab lauk daging tadi kan dah ada perisa).
- Panaskan oven suhu 160 darjah. Lauk daging dibahagi kepada 3 bahagian sebab bancuhan ini jadi 3 kuih bakar.
- Ambil acuan kuih bakar. Letakkan di atas dapur, bubuh 1/2 sudu besar minyak sapi atau marjerin. Panaskan.
- Bila minyak sudah panas, perlahankan api dan tuangkan bancuhan tepung tadi hingga paras 3/4 penuh ke dalam acuan. Biar kira-kira satu minit, kemudian sudukan lauk daging ke dalam bancuhan tepung dalam acuan perlahan-lahan. Mula dibahagian tengah dan kemudian dalam setiap lekuk acuan.
- Bila nampak garing pada tepi2 kuih, masukkan ke dalam oven suhu 180 C api atas dan bakar guna api atas sahaja ( jika ada ) selama 15-20 minit. Keluarkan dari oven.
- Dengan menggunakan pisau, keluarkan kuih ketika masih panas.
- Buat begini sehingga bancuhan tepung habis.
- Hidang bersama sos cili.