Wednesday, July 5, 2017

~ Resipi Kek Kukus Lapis Horlicks Oatmeal...

Sheery Dream Cakes | 4:29 PM | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah bersiaran kembali bersama resipi kek kukus pula untuk hari ini. Kek kukus ni Diana buat untuk jamuan rumah terbuka pada hari raya pertama tempoh hari. Baru hari ini berkesempatan kongsikan resipinya di sini. 

Di Labuan, kek kukus lapis merupakan kek yang biasa kita akan jumpa ketika beraya di rumah saudara mara atau kawan-kawan serta di rumah jiran tetangga. Ada bermacam-macam jenis kek kukus lapis terhidang di atas meja dengan pelbagai rasa dan warna. Untuk hari raya tahun ni, Diana buat resipi baru kek kukus dengan menggabungkan horlicks dan oatmeal. Rasanya? Hehehe.. Kena buat barulah tau kan. Apa-apa pun, seisi keluarga dan beberapa orang tetamu memberitahu yang kek ni sedap di tekak mereka. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang sudi datang ke rumah di hari raya ini ya. Maaf Zahir & Batin sekiranya ada kekurangan semasa anda beraya di rumah Diana.

Baiklah, jom kita semak resipi kek kukus lapis ini.


KEK KUKUS LAPIS HORLICKS OATMEAL

Bahan-Bahan
  • 10 biji telur
  • 300 gm mentega Golden Churn
  • 120 gm minyak sapi
  • 1 cawan gula kastor
  • 1 tin kecil susu pekat manis
  • 1 tin sederhana seri kaya Yeo's ( 300 gm )
  • 1 cawan Nestle cerelac bijirin bayi ( gandum & madu )
  • 1 cawan instant oatmeal Quaker _ dikisar halus
  • 1 cawan biskut Hup Seng cream crackers yang telah dikisar halus
  • 150 gm horlicks
  • 80 gm haw flakes kisar


Cara-Cara
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil / tuala bersih semasa mengukus kek. 
  2. Asingkan putih dan kuning telur. 
  3. Pukul putih telur bersama gula kastor sehingga kembang. Ketepikan.
  4. Kemudian, pukul mentega bersama minyak sapi sehingga sebati.
  5. Masukkan kuning telur dan pukul hingga kembang.
  6. Setelah itu, campurkan adunan putih telur dan gula halus tadi. Pukul sebati.
  7. Masukkan susu pekat manis, seri kaya, cerelac, biskut cream crackers kisar, haw flakes kisar, instant oatmeal kisar serta horlicks. Pukul lagi hingga rata.
  8. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Warnakan adunan dengan warna pilihan pada setiap bahagian.
  9. Tuangkan satu adunan dan masukkan ke dalam loyang bersaiz 8" yang telah dialas dengan aluminium foil. Kukus sehingga kek masak.
  10. Setelah itu cucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester pada kek dan tekan dengan lembut dengan sudu plastik lembut. Lapis lagi dengan satu adunan warna berlainan dan kukus sehingga adunan kek masak.
  11. Buat begini sehingga adunan kek habis.
  12. Jangan lupa setiap kali kita membuat kek kukus, hendaklah dicucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester dan tekan secara lembut dengan sudu plastik sebelum melapis adunan seterusnya. 
  13. Untuk lapisan terakhir, masa mengukusnya hendaklah ditambah selama 30 minit supaya kek masak sekata secara keseluruhannya.
  14. Sejukkan dan simpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum di potong dan dihidang.
  15. Masa untuk mengukus kek ini dalam 3 1/2 - 4 jam lamanya menggunakan api sederhana.





BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Monday, July 3, 2017

~ Resipi Kek Batik Coklat...

Sheery Dream Cakes | 8:23 PM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam 9 Syawal...

Salam Aidilfitri buat semua. Ampun dan maaf dari saya andai kata ada yang pernah terguris hati dan tercalar perasaan selama persahabatan kita di alam nyata mahupun di alam maya. Moga ukhuwah yang terjalin mendapat keredhaan Allah S.W.T. dan akan terus kekal keranaNya.

Beberapa hari yang lepas, Diana sempat buat Kek Batik Coklat. Sejak Diana beratkins ni, memang Diana mengelakkan diri dari membuat Kek Batik Coklat. Inilah salah satu kek kegemaran Diana sebenarnya. Jika ada kek ni di depan mata, memang hancurlah diet Diana dibuatnya. Memandangkan seisi keluarga suka sangat makan Kek Batik Coklat ni di rumah sepupu Diana semasa beraya di sana, jadi buat jugalah kek ni. 

Diana teringin nak mencuba resipi yang lain. Jadi, Diana google resipi Kek Batik Coklat. Hasilnya Diana jumpalah resipi Kek Batik Coklat seperti di bawah. Terima kasih kepada tuan empunya resipi dan juga kepada yang sudi mengetengahkan resipi ni ya. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula. Terima kasih.



:: Sumber Dari ~ CaHaYa CiNta Ku ( KEK BATIK SPECIAL ) _ ( TQ )


KEK BATIK COKLAT 

Bahan-Bahan
  • 3 tbsp mentega
  • 300 gm coklat masakan / boleh gantikan dengan milo _ ( Diana bubuh 250 gm coklat masakan + 3 sudu makan milo )
  • 1/2 tin besar susu pekat _ boleh dikurangkan atau ditambah mengikut citarasa masing-masing
  • 200 gm biskut marie atau secukupnya _ dipatah-patahkan
  • Kacang dikisar kasar _ ( Diana gantikan dengan nestum )
  • Badam keping yang disangai _( Diana tidak bubuh )

Cara-Cara
  1. Satukan mentega, susu pekat, milo (jika bubuh ) dan coklat masakan di dalam periuk.
  2. Cairkan dengan menggunakan kaedah double boiler. Masak sehingga kesemua bahan larut dan gaul sebati. Tutupkan api. ( Diana tidak menggunakan kaedah double boiler. Hanya masak seperti biasa di atas api sederhana dan kacau sentiasa sehingga kesemua bahan larut ).
  3. Tutupkan api dan masukkan biskut marie dan kepingan badam ( Diana tudak bubuh ). Gaul sehingga kesemua bahan bersalut coklat.
  4. Taburkan kacang kisar dan gaul rata ( Diana tidak bubuh ).
  5. Masukkan adunan kek batik ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil atau menggunakan plastik bersih. Tekan adunan sehingga padat.
  6. Taburkan kacang kisar ( Diana gantikan dengan nestum ).
  7. Simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam atau semalaman.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Monday, June 19, 2017

~ Resipi Biskut Oatmeal Cornflakes...

Sheery Dream Cakes | 1:38 PM | 1 Comment so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah.. Hari ini diberi peluang bersiaran kembali bersama resipi biskut Oatmeal Cornflakes. Biskut ini Diana olah dari resipi Cowboy Cookies. Cowboy cookies bukan sahaja biskut kegemaran kami seisi keluarga, malahan ianya turut digemari oleh tetamu yang bertandang ke rumah Diana pada hari raya setiap tahun. Disebabkan anak-anak suka makan cornflakes, Diana cuba olah resipinya kepada biskut Oatmeal Cornflakes. Alhamdulillah.. Anak-anak suka. 

Kekacang merupakan salah satu bahan yang terkandung di dalam biskut ini. Jadi, anda boleh pilih jenis kekacang yang diingini mengikut kegemaran masing-masing. Jika anda suka makan badam, bubuhlah cincangan badam dan begitulah seterusnya ya. Baiklah, apa kata kita semak resipi biskut ini.


BISKUT OATMEAL CORNFLAKES

Bahan-Bahan
  • 350 gm tepung gandum
  • 265 gm mentega
  • 200 gm gula kastor
  • 190 gm gula perang
  • 320 gm oats
  • 1 1/4 tsp garam
  • 1/2 tsp soda bikarbonat
  • 1 tsp baking powder
  • 2 biji telur + 1 biji kuning telur
  • 2 tbsp susu segar
  • 1 1/2 tsp esen vanilla
  • 70 gm Nestle honey gold flakes _ dihancurkan sedikit
  • 450 gm coklat masakan _ dicincang kasar
  • 85 gm biji gajus panggang _ dicincang kasar
  • 45 gm kacang pistachio _ dicincang kasar
  • Sedikit Nestle honey gold flakes _ dihancurkan sedikit ( untuk hiasan )

Cara-Cara
  1. Panaskan oven pada suhu 180°C. Lengserkan dulang pembakar dengan sedikit mentega dan taburkan sedikit tepung atau lapik dulang pembakar dengan kertas minyak. 
  2. Ayak tepung bersama garam, baking powder dan soda bikarbonat. Ketepikan.
  3. Pukul mentega bersama gula perang dan gula kastor sehingga kembang dan gebu.
  4. Masukkan telur dan pukul lagi sehingga pekat.
  5. Masukkan susu segar dan esen vanilla. Pukul sebati.
  6. Kemudian masukkan bahan-bahan  yang diayak tadi dan pukul hingga sebati.
  7. Masukkan cornflakes, oats, coklat masakan cincang, kacang pistachio dan biji gajus. Gaul menggunakan spatula sehingga rata.
  8. Dengan menggunakan 2 batang sudu teh, ambil sesenduk penuh adunan ( kurangkan setengah sudu adunan jika inginkan biskut yang lebih kecil ) dan letakkan di atas dulang pembakar. Jarakkan antara adunan itu. Tekan sedikit biskut dan taburkan sedikit cornflakes di atasnya.
  9. Bakar di dalam oven selama 12 - 15 minit atau sehingga ianya masak.
  10. Keluarkan dari oven dan simpan di dalam balang setalah ianya sejuk.

:: NOTA ~
  • Anda boleh tukar biji gajus dan kacang pistachio kepada jenis kekacang yang diingini mengikut kegemaran masing-masing.
  • Biskut ini crispy di tepinya tetapi chewy dan moist di tengahnya jika kita bentukkannya besar-besar ya. Sekiranya anda ingin hidangkan biskut ini untuk hidangan di hari raya, seeloknya bentukkannya kecil-kecil dengan menggunakan 1/2 sudu teh dan bakar sehingga keseluruhan biskut garing.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, June 10, 2017

~ Resipi Sup Ayam Tomato...

Sheery Dream Cakes | 9:06 AM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Sup Ayam Tomato ni sangat mudah untuk disediakan. Ianya amat sesuai dimasak ketika hari sibuk atau hari bekerja. Bahan-bahannya ringkas sahaja dan cara memasaknya pun teramatlah senangnya. Kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakan bahan-bahannya. Utamanya bagi suri rumah yang bekerja yang mana perlu menyediakan menu makan malam untuk seisi keluarga, menu ni amat sesuai sekali. 

Diana pernah kongsikan resipinya  DI SINI dulu. Nak tau mudah atau tidak cara penyediaannya, apa kata kita semak resipinya di bawah.

Untuk tengok entri yang lepas, anda boleh klik DI SINI.

SUP AYAM TOMATO

Bahan-Bahan
  • 700 gm ayam _ dipotong ketulan kecil
  • 2 biji ubi kentang _ dipotong 8 ( kalau ubi kentang tu kecil potong 4 sahaja )
  • 1 batang lobak merah _ dipotong bulat
  • 3 biji tomato _ dipotong 4
  • 1 biji bawang besar _ dipotong 8
  • 2 inci halia _ dihiris
  • Garam secukup rasa
  • Air secukup kegunaan

Cara-Cara
  1. Didihkan air secukupnya d dalam periuk. Masukkan kesemua bahan kecuali garam.
  2. Masak sehingga mendidih di atas api kuat.
  3. Kemudian renih sehingga ayam masak di atas api sederhana.
  4. Bubuh garam dan sesuaikan rasa.
  5. Angkat dan hidang ketika ianya masih panas.


BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>