Thursday, July 6, 2017

~ Resipi Nasi Minyak Hujan Panas Bersama Kari Terung & Ayam Masak Kurma...

Sheery Dream Cakes | 10:13 AM | | |

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Minyak Hujan Panas ini merupakan menu makan malam kami 2 hari lepas yang Diana gandingkan dengan kari terung bersama ayam masak kurma. Agak lama juga Diana tidak memasak nasi minyak hujan panas. Kali ini Diana mencuba resipi dari Makyong pula. Alhamdulillah.. Sedap di tekak kami sekeluarga. Sukatan airnya tu Diana tambah kepada 6 cawan sebab sudah biasa Diana masak dengan sukatan beras Moghul Faiza. 

Sebenarnya ada permintaan untuk ayam masak kurma ni. Katanya rindu nak makan ayam masak kurma masakan mummy dia ni. Kali terakhir memasak ayam masak kurma pada bulan lepas semasa bulan Ramadhan. Masak untuk berbuka puasa. Rumah terbuka Hari Raya baru-baru ni pun bukan Diana yang masak kurma ayam. Rupanya ada yang rindu masakan mummy dia. Hehehe...

Baiklah, kita terus sahaja tengok resipi Nasi Minyak Hujan Panas yang sedap ini. Terima kasih buat Makyong dan Hasue. Izinkan pula Diana panjangkan resipi ini di sini ya.

:: Resipi Oleh ~  Makyong@myresepi.com  ( TQ )
:: Sumber ~ HaSue @ I Love My Life  ( TQ )

NASI MINYAK HUJAN PANAS
( Untuk 5 orang )

Bahan-Bahan
  • 4 cawan beras basmati _ ( Diana guna beras Moghul Faiza Basmathi )
  • 5 cawan air _ Diana bubuh 6 cawan air
  • 2 kiub ayam 
  • Pewarna merah, kuning dan hijau

Bahan Tumis

  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Hiasan

  • Bawang goreng
  • Kismis
  • Biji gajus goreng

Cara-Cara
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang.
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi.
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak.
  7. Bila nasi sudahkering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila nasi sudah masak masak, gembur-gemburkan nasi itu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka.

**NOTE Diana~ 
Untuk sukatan airnya tu, Diana bubuh 6 cawan mengikut seperti sukatan yang Diana masak harian di rumah ni. 


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley


KARI TERUNG


Bahan-Bahan
  • Terung _ dipotong mengikut citarasa masing-masing
  • Serbuk kari daging Baba's
  • Santan pekat / santan dalam kotak
  • Air 
  • Garam
  • Gula
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Tumbuk
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Udang kering _ direndam di dalam air panas hingga lembut, bersihkan dan toskan
  • Sedikit belacan 

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan-bahan tumbuk. Tumis sehingga naik aromanya.
  2. Masukkan sedikit gula. Tumis lagi sehingga garing.
  3. Masukkan serbuk kari, sedikit garam dan sedikit air. Gaul dan tumis sehingga kari betul-betul masak.
  4. Masukkan terung dan gaul rata. 
  5. Setelah terung layu, bolehlah dimasukkan air. Gaul dan masak seketika.
  6. Tambahkan santan dan gaul. Biarkan ianya mendidih.
  7. Sesuaikan rasa dan tambahkan garam serta gula jika perlu. Setelah terung masak, tutupkan api.
  8. Hidang bersama nasi putih panas atau nasi minyak.


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley
:: Entri lepas boleh klik DI SINI


AYAM MASAK KURMA

Bahan-Bahan
  • 1 kg ayam _ dipotong kecil-kecil
  • 70 gm rempah kurma Adabi ( boleh dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • 2 biji cili merah _ dibelah dan buang bijinya
  • 2 biji bawang besar _ dibelah 4 
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 70 gm kerisik
  • 2 tbsp gula
  • 2 tbsp susu pekat
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air panas
  • 200 ml santan pekat
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Dikisar Halus
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 batang serai


Cara-Cara
  1. Campurkan gula, rempah kurma dan air panas. Gaul rata. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar sehingga terbit aromanya. 
  3. Masukkan campuran rempah kurma tadi. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Tutup penutup periuk dan masak sehingga ayam empuk.
  5. Setelah itu, bolehlah dimasukkan santan pekat dan air secukupnya mengikut citarasa masing-masing.
  6. Tambahkan air asam jawa, susu pekat dan garam secukup rasa.
  7. Masukkan kerisik. Gaul dan masukkan pula bawang besar dan cili merah. Masak seketika.
  8. Angkat dan hidang.


0 comments: