Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Sejak Diana mengamalkan diet rendah karbohidrat ni.. Diana memang tiada masalah langsung jika tidak mengambil sumber karbohidrat utama iaitu nasi. Tetapi Diana akan kalah dengan godaan roti dan mee. Sememangnya Diana penggemar cinnamon bread dan mee.
Namun, Diana tidak jadikannya sebagai satu alasan untuk mengalah dalam perjalanan diet Diana ni. Bermula Sept 2016 hingga Jan 2017, berat badan Diana telah turun sebanyak 19 kg dengan mengamalkan diet atkins. Selama 4 bulan tu Diana amalkan clean diet. Kena fahami dulu apa itu diet atkins ya jika anda ingin berdiet atkins. Diet atkins ni mempunyai 4 fasa. Kena fahami setiap fasa tersebut sebelum anda memulakan diet tu ya.
Diana tidak akan sentuh apa itu diet atkins di sini. Anda sendiri boleh merujuknya atau google apakah itu diet atkins. Banyak informasi tentang diet atkins telah dikongsikan di alam maya ini. Jadi luangkan sedikit masa untuk membaca apa itu diet atkins.
Baiklah.. Sekarang ni Diana dalam fasa mengekalkan berat badan yang ada. Nak kurus tu memang mudah tetapi nak mengekalkannya tu agak sukar sedikit bagi Diana. Jadi, Sekiranya kita sudah mendapat berat badan yang kita ingini.. Jangan pula lupa diri dengan godaan pelbagai makanan yang sedap-sedap ya.. Hehehe.. In Shaa Allah.. pasti boleh kawal nafsu makan.. Jadi Mee Telur Sup ni merupakan salah satu menu yang Diana ambil sekarang. Anda boleh rujuk resipinya di bawah ya.
MEE TELUR SUP
Bahan-Bahan Untuk Mee Telur
Cara-Cara
- 2 biji telur
- 1 1/2 tbsp air
- Garam
- Serbuk lada putih
Cara-Cara
- Campurkan kesemua bahan-bahan di atas ke dalam mangkuk yang sesuai. Pukul sebati.
- Dadar nipis adunan seperti mendadar telur. Angkat dan gulung dengan kemas. Potong dengan pisau. Caranya anda boleh rujuk di entri lepas KLIK DI SINI.
- Susun sedikit mee telur di dalam mangkuk.
- Ketepikan.
Bahan-Bahan Untuk Bebola Udang
- 120 gm udang yang telah dibuangkan kulit, kepala ( simpan kepala udang untuk kegunaan nanti ) dan dibersihkan ( dalam 5 ekor udang bersaiz besar )
- 1/4 tsp minyak bijan
- Sedikit daun kucai _ hiris halus
- Sedikit daun sup _ dihiris halus
- Sedikit daun bawang _ dihiris halus
- Garam secukup rasa
- Lada putih kisar
Cara-Cara
- Cincang udang hingga halus. Masukkan udang ke dalam mangkuk bersama kesemua bahan. Gaul rata.
- Ketepikan.
Bahan-Bahan Untuk Sup
- Sayur bayam atau sayur sawi _ dipotong ikut suka
- 5 kepala udang
- 1 hirisan nipis halia _ dimayang halus
- 1 ulas bawang putih _ dihiris
- Air secukup kegunaan
- Lada putih kisar
- Garam secukup rasa
- Minyak zaitun untuk menumis
Cara-Cara
- Panaskan sedikit minyak zaitun di dalam periuk. Masukkan bawang putih dan halia. Tumis sehingga kekuningan.
- Kemudian masukkan air dan biarkan ianya mendidih.
- Masukkan kepala udang, basahkan tangan dengan air dan ambil sedikit adunan bebola udang di atas. Masukkan ke dalam sup dan tambahkan garam dan lada putih kisar secukup rasa.
- Masukkan sayur bayam atau sayur sawi dan biarkan ianya masak.
- Sesuaikan rasa dan tutupkan api.
- Tuangkan sup ke dalam mangkuk yang berisi mee telur tadi.
- Taburkan dengan hirisan daun bawang dan nikmati ketika ianya masih panas.