Tuesday, May 16, 2017

~ Resipi Ayam Masak Sos Cili Thai...

Sheery Dream Cakes | 12:22 PM | 4 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah.. Hari ini diberi kesempatan untuk bersiaran lagi di blog ini. Dikesempatan ini, Diana ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik. Guru Pembina Negara Bangsa. Terima kasih di atas segala jasa cikgu-cikgu yang sanggup meluangkan masa dan tenaga mendidik kami semua. Jasa guru tidak akan kami lupa hingga ke akhir hayat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa guru. Guru-guru sentiasa kami kenang di dalam setiap doa kami. Terima kasih cikgu. 

Baiklah, hari ini Diana ingin kongsikan resipi Ayam Masak Sos Cili Thai. Versi yang lepas anda boleh klik DI SINIDI SINI dan DI SINI. Sekarang, apa kata kta semak pula resipi terbaru ini ya.


AYAM MASAK SOS CILI THAI

Bahan-Bahan A
  • 3 keping paha ayam
  • 1 biji bawang merah _ dihiris
  • 2 ulas bawang putih _ dihiris
  • 1 inci halia _ dihiris
  • Garam
  • Gula

Bahan-Bahan B
  • Karamel pekat masakan Loon Kee atau boleh juga menggunakan ABC saus manis ( ABC sos manis )
  • Sedikit gula

Bahan-Bahan C
  • 100 ml sos cili Thai Maepranom Brand
  • 1/4 cawan Kimball sos cili Thai 
  • 1/2 tbsp ABC saus manis ( ABC sos manis )
  • 1/2  tbsp sos plum Loon Kee
  • 1 cawan ( atau mengikut citarasa masing-masing ) air rebusan ayam
  • 3 tbsp jus limau kasturi _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut selera masing-masing
  • Garam secukup rasa
  • Gula jika perlu

Bahan-Bahan D
  • Daun sup _ dihiris
  • Biji bijan panggang
  • Air secukupnya untuk merebus
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-Cara
  1. :: Penyediaan Ayam  ~ Campurkan kesemua bahan-bahan A dan perap selama 30 minit - 1 jam. 
  2. Masukkan ayam dan air secukupnya ke dalam periuk. Rebus hingga ayam masak.
  3. Ambil air rebusan untuk kegunaan nanti. Ketepikan.
  4. Keluarkan ayam dan toskan. Lumurkan ayam bersama bahan-bahan B dan goreng sehingga kekuningan. 
  5. Angkat dan toskan. Potong ayam mengikut citarasa masing-masing dan susun di atas pinggan.
  6. :: Penyediaan sos  ~ Masukkan bahan-bahan C ke dalam periuk dan gaul rata. Biarkan ianya mendidih. Sesuaikan rasa dan tutupkan api. Curahkan sos di atas ayam tadi. 
  7. Taburkan dengan hirisan daun sup dan biji bijan panggang.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, May 13, 2017

~ Resipi Nasi Goreng Bunga Kobis...

Sheery Dream Cakes | 3:43 PM | 2 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah bersiaran kembali bersama entri kedua untuk hari ini. Terima kasih kepada yang masih sudi singgah di blog ini. Seperti yang Diana maklumkan di entri tadi, ada entri tertangguh yang perlu dikongsikan bersama anda semua. Ini lah resipi yang dimaksudkan, Nasi goreng bunga kobis.

Nasi goreng bunga kobis merupakan salah satu menu orang yang mengamalkan diet rendah karbohidrat. Ianya sedap dan yang penting mengenyangkan. Tetapi jika anda baru bermula dengan diet atkins dalam fasa 1, adalah lebih baik anda menyukat kuantiti bunga kobis dan brokoli tu ya. Jangan pula fikir kita boleh makan sebanyak-banyaknya tau. Diana memang tidak akan sentuh tentang fasa-fasa diet atkins ya di sini. Anda boleh cari maklumat tu sendiri kerana ramai dah yang kongsi berkaitan diet tersebut.

Jom kita semak resipi untuk kali ini. 

NASI GORENG BUNGA KOBIS

Bahan-Bahan 
  • 2 cawan bunga kobis yang dipotong kecil _ ( kisar sederhana halus dengan menggunakan food processor )
  • 1 cawan brokoli _ dipotong kecil
  • 40 gm daging ayam kisar
  • Sedikit udang kering _ direndam dalam air panas, tos, bersihkan dan ditumbuk kasar
  • Sedikit ikan bilis _ bersihkan
  • 1 biji telur
  • 1 ulas bawang putih _ dicincang
  • Sedikit lada hitam kisar
  • Minyak zaitun untuk menumis
  • Daun sup _ dihiris
  • Daun bawang _ dihiris
  • Cili padi _ ( optional )
  • Garam secukup rasa

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bawang putih, cili padi dan ikan bilis hingga kekuningan.
  2. masukkan udang kering dan goreng seketika.
  3. Masukkan ayam dan masak hingga ayam empuk.
  4. kemudian masukkan brokoli dan gaul rata.
  5. Setelah brokoli layu, bolehlah dimasukkan bunga kobis kisar, lada hitam kisar dan garam secukup rasa.
  6. Sesuaikan rasa dan tutupkan api.
  7. Hidang bersama hirisan timun dan telur mata.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

~ Resipi Wantan Mee Kicap...

Sheery Dream Cakes | 12:05 PM | | | 2 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Minggu depan merupakan minggu yang sibuk sedikit buat Diana. Jadi hari ini Diana mengambil kesempatan untuk update blog ni dengan beberapa entri. In Shaa Allah..  Ada beberapa entri yang tertangguh untuk dikongsikan.

Resipi untuk kali ni Diana kongsikan resipi Wantan Mee Kicap yang Diana masak beberapa hari yang lepas. Ahli keluarga Diana sememangnya suka makan wantan mee kicap. Jika ada kelapangan sedikit memang berbaloi memasaknya sendiri. Tetapi jika masa tidak mengizinkan, lebih baik makan atau beli di kedai sahaja. Heheheh.. Memang banyak juga hendak disediakan bahan-bahannya. Nak sediakan wantan goreng, mana lagi nak masak ayamnya dan kuah kicap semestinya.

Baiklah.. Resipinya anda boleh rujuk di bawah ya.

WANTAN MEE KICAP

Bahan-Bahan
  • Mee wantan secukup kegunaan _ celur dan angkat, kemudian celup di dalam air sejuk dan toskan
  • Sayur sawi _ dicelur
  • Wantan goreng _ ( resipinya rujuk di bawah )
  • Ayam Panggang Madu _ ( resipinya rujuk di bawah  atau  KLIK DI SINI )
  • Kuah kicap _ ( resipinya rujuk di bawah )
  • Hirisan daun bawang

Cara Menghidang
  1. Sendukkan kuah kicap ke dalam pinggan atau mangkuk.
  2. Kemudian susun mee wantan, wantan goreng, ayam panggang madu, sayur sawi dan taburkan hirisan daun bawang di atasnya.
  3. Hidang.

WANTAN GORENG

Bahan-Bahan Inti
  • 150 gm udang _ buang kepala, kupas kulit, bersihkan dan dicincang halus
  • 1/2 tsp minyak bijan
  • Sedikit sos ikan
  • Daun sup _ dihiris 
  • Lada putih kisar

Bahan-Bahan A
  • 10 Keping kulit wantan
  • Air untuk pelekat
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-Cara
  1. Masukkan kesemua bahan inti ke dalam mangkuk dan gaul rata. Perap selama 30 minit.
  2. Kemudian ambil sekeping kulit wantan  dan bubuh intinya. Beruskan tepi kulit wantan dengan sedikit air. Lipatkan dengan kemas. 
  3. Ulang proses No.2 sehingga kulit wantan habis digunakan. Ketepikan.
  4. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali dan masukkan wantan udang tadi. Goreng sehingga wantan masak kekuningan.
  5. Angkat dan toskan minyaknya.
  6. Makan bersama sos pilihan atau nikmatinya bersama mee wantan kicap.

AYAM PANGGANG MADU

Bahan-Bahan
  • 3 keping paha ayam _ buangkan tulangnya
  • Sedikit biji bijan panggang
  • Air secukup kegunaan

Bahan-Bahan Perap
  • 1 tbsp sos tiram
  • 1/2 tbsp Oriental BBQ Sauce Life
  • 1 tsp lada berperisa Aji Shio
  • 1 tbsp kicap cair Loon Kee
  • 1 tsp minyak bijan
  • 1/2 tsp jus halia
  • 1 tbsp madu
  • Sedikit gula jika suka

Bahan-Bahan Lain
  • Sedikit madu + sedikit air

Cara-Cara
  1. Gaulkan ayam bersama bahan-bahan perap dan perap selama 30 minit atau lebih.
  2. Masukkan ayam ke dalam periuk dan tambahkan air sehingga paras ayam. 
  3. Rebus ayam sehingga ayam empuk dan kuahnya kering. Tutupkan api. 
  4. Kemudian keluarkan ayam dari periuk dan susun ayam tadi di atas rak besi pemanggang. 
  5. Sapukan ayam dengan campuran madu dan air. Taburkan biji bijan di atas ayam. Ketepikan. 
  6. Panaskan oven pada suhu 200°C  dan masukkan ayam ke dalam oven. Bakar sehingga ayam keperangan.
  7. Setelah ayam masak, keluarkan dari oven dan potong ayam mengikut citarasa masing-masing.
  8. Hidang.
:: Anda boleh KLIK DI SINI untuk tengok entri yang lepas Ayam Panggang Madu.

KUAH KICAP

Bahan-Bahan Ditumbuk
  • 1 inci halia 
  • 3 ulas bawang putih 
  • 5 ulas bawang merah 

Bahan Sampingan
  • 10 keping cendawan hitam, rendam hingga kembang 
  • 4 - 5 cawan air
  • Bancuhan tepung jagung + air 

Bahan Sos (campurkan semua dalam mangkuk kecil) 
  • 5 sudu besar kicap masin 
  • 3 sudu besar kicap manis 
  • 3 sudu besar kicap cair 
  • 3 sudu besar sos tiram 
  • sedikit garam, perisa dan serbuk lada putih 

Cara-Cara Masak Kuah 
  1. Tumis bahan tumbuk hingga kekuningan. 
  2. Masukkan 4-5 cawan air dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan bancuhan tepung jagung, cendawan hitam dan bahan sos. Masak sehingga mendidih dan cendawan masak.
:: NOTE ~
Untuk resipi kuah kicap di atas, banyak bahan yang Diana tidak tulis seperti resipi asal sebab kuah kicap yang akak Ummi dan Akak Ida kongsikan itu untuk resipi Yee Mee Kicap. Jadi, untuk Wantan Mee Kicap ini, resipi kuahnya Diana hanya guna bahan seperti di atas ini ya.





BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Wednesday, May 10, 2017

~ Resipi Tart Nanas Cheese...

Sheery Dream Cakes | 9:23 AM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera... 


Tart Nanas merupakan biskut raya yang popular dan menjadi kegemaran sepanjang zaman. Sudah menjadi satu kemestian sejak zaman nenek moyang kita lagi biskut ini ada terhidang di meja untuk hidangan di Hari Raya. 

Di zaman kanak-kanak Diana dulu, pelbagai biskut raya disediakan oleh mama Diana. Seronok rasanya ketika itu sebab kami menyediakan biskut raya sendiri bagi persiapan menyambut ketibaan Syawal.

Berbeza dengan zaman sekarang, ramai sudah yang menjual pelbagai jenis biskut raya. Zaman semakin berkembang, banyak pilihan dengan pelbagai rasa dan rupa bentuk yang terdapat di pasaran. Ada juga resipi-resipi asal diolah dan ditambah dengan keju bagi menyesuaikan selera pelanggan di zaman ini. Diana juga tidak ketinggalan untuk membeli biskut homemade setiap tahun sebelum tibanya Syawal. Diana hanya buat biskut sebelum tibanya Ramadhan untuk hidangan keluarga Diana. Untuk hidangan Hari Raya biasanya Diana akan beli sahaja. Cuma ada 2 atau 3 jenis biskut sahaja yang Diana akan buat.

Dua hari lepas, Diana sempat buat Tart Nanas. Resipi dari Akak Anim ini sememangkan sedap. Pastrinya yang rapuh, gebu dan cair di mulut apabila dimakan. Biskut ini sememangnya membuatkan anda tidak akan berhenti untuk mengunyah lagi dan lagi. Memang berbaloi mencuba resipi dari akak Anim ini.

Cuma untuk kali ini, Diana ada tambah sedikit dengan cream cheese di dalam adunan pastrinya. Ampun ya akak Anim, Diana derhaka sedikit dengan resipi ni. Harap akak izinkan dan halalkan ya. 

Terima kasih buat Akak Anim kerana sudi berkongsi resipi Tart Nanas Gebu yang sedap ini. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih akak..

:: Resipi Oleh ~ Akak Anim @ My Kitchen  ( TQ )

TART NANAS CHEESE

Bahan-Bahan Pastri
  • 4 oz butter - 115 gram 
  • 4oz minyak sapi - 115 gram 
  • 1 biji telur gred B 
  • 1 lb tepung gandum - 450 gram 
  • Sedikit garam 
  • Air sejuk _ jika perlu
  • 100 gram cream cheese _ ( Diana tambah )

Cara-Cara
  1. Pecahkan telur di dalam bekas adunan. 
  2. Masukkan butter, minyak sapi dan cream cheese. Gaul hingga sebati dengan hanya menggunakan whisk. 
  3. Kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul sebati sehingga menjadi doh yang lembut ( Akak tidak menggunakan air sejuk tapi setelah adunan menjadi doh letakkan sebentar di dalam peti ais). 
  4. Dengan menggunakan acuan tart, tekan adunan dan bentukkan tart mengikut kesesuaian anda. 
  5. Jika letak inti yang banyak maka dapatlah tart yang tebal. Bakar pada suhu 170°C-180°C selama 20-25 minit

Bahan-Bahan Inti
  • 10 biji nanas _ disagat dan toskan airnya 
  • 3 kampit gula 
  • Sedikit pewarna kuning 

Cara-Cara 
  1. Masukkan nanas dan gula ke dalam periuk yang sesuai. Gaul dan masak sehingga hampir kering.
  2. Masukkan pewarna kuning dan gaul.
  3. Kacau sehingga kering di atas api yang perlahan. 




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>