Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Ayam Panggang Kerisik ni merupakan juadah kami seisi keluarga semasa bersahur pagi tadi. Cara penyediaannya pun mudah sahaja. Tu yang masak untuk bersahur pagi tadi. Dah lama Diana tidak masak Ayam Panggang Kerisik ni. Kelmarin tiba-tiba pula teringat resipi ni. Dulu Diana pernah kongsikannya di entri INI. Tetapi untuk hari ni Diana akan kongsikan resipi yang sedikit berbeza dari resipi yang lepas ya. Tidaklah banyak sangat bezanya. Sedikit saja. Jom semak resipi untuk versi terbaru ni.
AYAM PANGGANG KERISIK
Bahan-Bahan
- 4 keping paha ayam _ buangkan tulangnya dan potong kepada 2 bahagian
- 3 tbsp kerisik _ ( boleh juga bubuh 2 tbsp jika tidak suka banyak kerisik )
- 200 ml santan pekat _ ( 1 kotak )
- 2 helai daun kunyit _ diracik halus
- Paste asam jawa secukup rasa
- Garam
- Gula Melaka
- Air secukup kegunaan
Bahan-Bahan Dikisar
- 4 ulas bawang putih
- 8 biji bawang merah
- 2 inci halia
- 1 batang serai
- 1 tangkai cili merah
- 3 tangkai cili padi _ ( boleh ditambah jika suka pedas )
- 1 biji buah tomato
- 1 tbsp serbuk kunyit
- 3 tbsp serbuk kari daging Baba's
Cara-Cara
- Campurkan ayam dengan bahan-bahan yang dikisar. Ramas sehingga semua bahan bersalut rata. Perap selama 10 minit atau lebih.
- Masukkan ayam berserta bahan-bahan kisar ke dalam kuali / periuk. Tuangkan santan dan sedikit air. Masak hingga mendidih.
- Tambahkan garam, gula melaka, paste asam jawa dan kerisik. Teruskan memasak hingga ayam empuk dan perencah meresap, angkat.
- Kemudian panggang ayam seketika untuk menambahkan aromanya.
- Sementara itu, teruskan menumis lebihan perencah sehingga garing dan pecah minyak ( tambahkan sedikit minyak jika perlu ketika menumis ).
- Angkat ayam dari oven dan tuangkan juga lebihan perencahnya ketika menghidang.
- Taburkan hirisan daun kunyit di atasnya dan jika suka bolehlah perahkan jus limau kasturi ketika menghidang..
- Nikmati bersama nasi panas atau ketupat.