Sunday, July 9, 2017

~ Resipi Biskut Dahlia...

Sheery Dream Cakes | 11:08 AM | Be the first to comment!
 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Salah satu biskut raya tahun ni yang Diana buat ialah Biskut Dahlia. Biskut yang wajib ada setiap tahun semasa lebaran. Biskut ni merupakan biskut kegemaran anak kecil Diana. Sejak dia di sekolah tadika lagi dia akan minta Diana buatkan biskut Upin & Ipin katanya. Inilah biskut Upin & Ipin jika ada anak-anak kecil kita minta buatkan ya. Hehhee.. 

Pada mulanya tu Diana pun agak kelam kabut juga fikir apakah dan macam manakah rupa biskut Upin & Ipin ni kan. Ingatkan bentuk biskut tu macam rupa Upin & Ipin. Rupanya setelah disoal selidik, alahai!!! Biskut Dahlia yang dimaksudkan.. Hahahaa... Di dalam cerita Upin & Ipin ada kisah mengenai kuih yang Kak Ros buat untuk Opah dia. Biskut tu memang rupanya macam biskut Dahlia ni. Tajuknya Rindu Opah. Hehehe... Sampai sekarang dia masih panggil biskut ni biskut Upin & Ipin.

Resipi biskut Dahlia yang Diana selalu buat Diana ikut dari blog Che Mat Gebu @ Adnan Ibrahim. Resipi ni memang terbaik. Sedap! Terima kasih buat Che Mat kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni ya. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula. Terima kasih.


BISKUT DAHLIA

Bahan-Bahan
  • 300 g mentega ( SCS, Anchor, atau mentega pilihan anda ) 
  • 160 g gula aising ( mat guna 140 g ) 
  • 2 kuning telur 
  • 1 camca teh esen vanilla ( mat guna beberapa titik esen rose ) 
  • 240 g tepung gandum* 
  • 100 g tepung jagung* 
  • 160 g tepung kastard*gaul rata dan diayak 
  • Ceri merah, dipotong kecil untuk hiasan 

Cara-Cara

  1. Putar mentega dan gula aising hingga bersatu ( jangan sampai kembang ), masukkan kuning telur dan esen vanilla/rose dan putar hingga sebati. 
  2. Perlahankan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Adunan akan menjadi doh yang lembut dan boleh ditekan.
  3. Masukkan doh ke dalam alat penekan yang dipasang muncung untuk biskut dahlia. Tekan atas dulang pembakar. Buat hingga siap dan hias dengan sepotong kecil ceri. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170°C selama 25 minit. Bergantung pada ketebalan biskut. Bakar hingga kuning keemasan. 
  4. Biarkan biskut sejuk sedikit atas dulang pembakar sebelum dialihkan ke atas jaringan. Biar sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, July 8, 2017

~ Resipi Kek Kukus Lapis Asam Manis Coklat...

Sheery Dream Cakes | 8:38 AM | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Betapa masa berdetik begitu pantas sehingga tidak terasa hari demi hari berlalu meninggalkan kita semua. Sungguh hari-hari itu terasa singkat. Semoga kita semua sentiasa di dalam redha dan rahmatNya. In Shaa Allah hari mendatang akan lebih baik dari sebelumnya. Hari ini 14 Syawal 1438 H. Masih banyak jemputan rumah terbuka diterima. In Shaa Allah.. kami akan berkunjung nanti dan Terima Kasih atas jemputannya ya.

Hari ini Diana ingin kongsikan resipi Kek Kukus Lapis Asam Manis Coklat. Resipi sama sahaja dengan versi yang lepas ( klik DI SINI ) cuma Diana tambah coklat di dalam adunan kek tu. Caranya pun mudah sahaja. Tak perlu nak susun haw flakes tu satu persatu. Haw flakes tu Diana cincang kasar dan bubuh di dalam adunan kek sebelum dikukus. Jika ingin sedikit kelainan di dalam rasa kek kukus lapis asam manis ni, bolehlah mencuba resipi di bawah ni ya.


KEK KUKUS LAPIS ASAM MANIS COKLAT

Bahan-Bahan 
  • 5 biji telur
  • 250 gm mentega
  • 1 3/4 cawan biskut cap ping pong Hup Seng Cream Crackers yang telah dikisar halus
  • 1/2 cawan gula kastor 
  • 1/2 tin kecil susu pekat manis ( 194 gm )
  • 1 tsp esen vanilla
  • 1 tsp baking powder
  • 120 gm haw flakes_ dicincang kasar ( boleh dikurangkan kepada 100 gm jika anda menambah sukatan coklat )
  • 100 gm coklat masakan _ dicincang kasar ( boleh ditamah jika suka rasa coklat yang lebih kuat )
  • Pewarna hijau, oren dan kuning atau warna pilihan masing-masing


Cara-Cara 
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil semasa mengukus kek.
  2. Mentega dan gula diputar sehingga kembang.
  3. Kemudian masukkan telur dan putar lagi
  4. Campurkan baking powder dan putar. Masukkan pula susu pekat dan putar sebati.
  5. Setelah itu masukkan cream crackers kisar dan esen vanilla. Putar hingga adunan sebati.
  6. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian.
  7. 1 bahagian bubuh 60 gm haw flakes cincang + pewarna oren, 1 bahagian lagi bubuh juga 60 gm haw flakes cincang +  pewarna hijau dan sebahagian lagi tambahkan coklat cincang + pewarna kuning. ( Jika anda suka rasa coklat yang lebih kuat, bolehlah di bubuh 2 bahagian adunan kek untuk coklat dan tambahkan sukatan coklat serta kurangkan sukatan haw flakes cincang kepada 100 gm sahaja ).
  8. Ambil sedikit adunan oren dan ratakan di dalam loyang bersaiz 8 inci yang telah dilapis dengan aluminium foil. Kukus sehingga masak. Setelah ianya masak, cucuk beberapa lubang dengan lidi / cake tester. Tekan secara lembut dengan sudu plastik.
  9. Lapis lagi di atasnya dengan adunan warna kuning. Buat begini sehingga adunan  kek habis digunakan.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Thursday, July 6, 2017

~ Resipi Nasi Minyak Hujan Panas Bersama Kari Terung & Ayam Masak Kurma...

Sheery Dream Cakes | 10:13 AM | | | Be the first to comment!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Minyak Hujan Panas ini merupakan menu makan malam kami 2 hari lepas yang Diana gandingkan dengan kari terung bersama ayam masak kurma. Agak lama juga Diana tidak memasak nasi minyak hujan panas. Kali ini Diana mencuba resipi dari Makyong pula. Alhamdulillah.. Sedap di tekak kami sekeluarga. Sukatan airnya tu Diana tambah kepada 6 cawan sebab sudah biasa Diana masak dengan sukatan beras Moghul Faiza. 

Sebenarnya ada permintaan untuk ayam masak kurma ni. Katanya rindu nak makan ayam masak kurma masakan mummy dia ni. Kali terakhir memasak ayam masak kurma pada bulan lepas semasa bulan Ramadhan. Masak untuk berbuka puasa. Rumah terbuka Hari Raya baru-baru ni pun bukan Diana yang masak kurma ayam. Rupanya ada yang rindu masakan mummy dia. Hehehe...

Baiklah, kita terus sahaja tengok resipi Nasi Minyak Hujan Panas yang sedap ini. Terima kasih buat Makyong dan Hasue. Izinkan pula Diana panjangkan resipi ini di sini ya.

:: Resipi Oleh ~  Makyong@myresepi.com  ( TQ )
:: Sumber ~ HaSue @ I Love My Life  ( TQ )

NASI MINYAK HUJAN PANAS
( Untuk 5 orang )

Bahan-Bahan
  • 4 cawan beras basmati _ ( Diana guna beras Moghul Faiza Basmathi )
  • 5 cawan air _ Diana bubuh 6 cawan air
  • 2 kiub ayam 
  • Pewarna merah, kuning dan hijau

Bahan Tumis

  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Hiasan

  • Bawang goreng
  • Kismis
  • Biji gajus goreng

Cara-Cara
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang.
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi.
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak.
  7. Bila nasi sudahkering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila nasi sudah masak masak, gembur-gemburkan nasi itu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka.

**NOTE Diana~ 
Untuk sukatan airnya tu, Diana bubuh 6 cawan mengikut seperti sukatan yang Diana masak harian di rumah ni. 


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley


KARI TERUNG


Bahan-Bahan
  • Terung _ dipotong mengikut citarasa masing-masing
  • Serbuk kari daging Baba's
  • Santan pekat / santan dalam kotak
  • Air 
  • Garam
  • Gula
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Tumbuk
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Udang kering _ direndam di dalam air panas hingga lembut, bersihkan dan toskan
  • Sedikit belacan 

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan-bahan tumbuk. Tumis sehingga naik aromanya.
  2. Masukkan sedikit gula. Tumis lagi sehingga garing.
  3. Masukkan serbuk kari, sedikit garam dan sedikit air. Gaul dan tumis sehingga kari betul-betul masak.
  4. Masukkan terung dan gaul rata. 
  5. Setelah terung layu, bolehlah dimasukkan air. Gaul dan masak seketika.
  6. Tambahkan santan dan gaul. Biarkan ianya mendidih.
  7. Sesuaikan rasa dan tambahkan garam serta gula jika perlu. Setelah terung masak, tutupkan api.
  8. Hidang bersama nasi putih panas atau nasi minyak.


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley
:: Entri lepas boleh klik DI SINI


AYAM MASAK KURMA

Bahan-Bahan
  • 1 kg ayam _ dipotong kecil-kecil
  • 70 gm rempah kurma Adabi ( boleh dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • 2 biji cili merah _ dibelah dan buang bijinya
  • 2 biji bawang besar _ dibelah 4 
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 70 gm kerisik
  • 2 tbsp gula
  • 2 tbsp susu pekat
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air panas
  • 200 ml santan pekat
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Dikisar Halus
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 batang serai


Cara-Cara
  1. Campurkan gula, rempah kurma dan air panas. Gaul rata. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar sehingga terbit aromanya. 
  3. Masukkan campuran rempah kurma tadi. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Tutup penutup periuk dan masak sehingga ayam empuk.
  5. Setelah itu, bolehlah dimasukkan santan pekat dan air secukupnya mengikut citarasa masing-masing.
  6. Tambahkan air asam jawa, susu pekat dan garam secukup rasa.
  7. Masukkan kerisik. Gaul dan masukkan pula bawang besar dan cili merah. Masak seketika.
  8. Angkat dan hidang.


BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Wednesday, July 5, 2017

~ Resipi Kek Kukus Lapis Horlicks Oatmeal...

Sheery Dream Cakes | 4:29 PM | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah bersiaran kembali bersama resipi kek kukus pula untuk hari ini. Kek kukus ni Diana buat untuk jamuan rumah terbuka pada hari raya pertama tempoh hari. Baru hari ini berkesempatan kongsikan resipinya di sini. 

Di Labuan, kek kukus lapis merupakan kek yang biasa kita akan jumpa ketika beraya di rumah saudara mara atau kawan-kawan serta di rumah jiran tetangga. Ada bermacam-macam jenis kek kukus lapis terhidang di atas meja dengan pelbagai rasa dan warna. Untuk hari raya tahun ni, Diana buat resipi baru kek kukus dengan menggabungkan horlicks dan oatmeal. Rasanya? Hehehe.. Kena buat barulah tau kan. Apa-apa pun, seisi keluarga dan beberapa orang tetamu memberitahu yang kek ni sedap di tekak mereka. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang sudi datang ke rumah di hari raya ini ya. Maaf Zahir & Batin sekiranya ada kekurangan semasa anda beraya di rumah Diana.

Baiklah, jom kita semak resipi kek kukus lapis ini.


KEK KUKUS LAPIS HORLICKS OATMEAL

Bahan-Bahan
  • 10 biji telur
  • 300 gm mentega Golden Churn
  • 120 gm minyak sapi
  • 1 cawan gula kastor
  • 1 tin kecil susu pekat manis
  • 1 tin sederhana seri kaya Yeo's ( 300 gm )
  • 1 cawan Nestle cerelac bijirin bayi ( gandum & madu )
  • 1 cawan instant oatmeal Quaker _ dikisar halus
  • 1 cawan biskut Hup Seng cream crackers yang telah dikisar halus
  • 150 gm horlicks
  • 80 gm haw flakes kisar


Cara-Cara
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil / tuala bersih semasa mengukus kek. 
  2. Asingkan putih dan kuning telur. 
  3. Pukul putih telur bersama gula kastor sehingga kembang. Ketepikan.
  4. Kemudian, pukul mentega bersama minyak sapi sehingga sebati.
  5. Masukkan kuning telur dan pukul hingga kembang.
  6. Setelah itu, campurkan adunan putih telur dan gula halus tadi. Pukul sebati.
  7. Masukkan susu pekat manis, seri kaya, cerelac, biskut cream crackers kisar, haw flakes kisar, instant oatmeal kisar serta horlicks. Pukul lagi hingga rata.
  8. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Warnakan adunan dengan warna pilihan pada setiap bahagian.
  9. Tuangkan satu adunan dan masukkan ke dalam loyang bersaiz 8" yang telah dialas dengan aluminium foil. Kukus sehingga kek masak.
  10. Setelah itu cucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester pada kek dan tekan dengan lembut dengan sudu plastik lembut. Lapis lagi dengan satu adunan warna berlainan dan kukus sehingga adunan kek masak.
  11. Buat begini sehingga adunan kek habis.
  12. Jangan lupa setiap kali kita membuat kek kukus, hendaklah dicucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester dan tekan secara lembut dengan sudu plastik sebelum melapis adunan seterusnya. 
  13. Untuk lapisan terakhir, masa mengukusnya hendaklah ditambah selama 30 minit supaya kek masak sekata secara keseluruhannya.
  14. Sejukkan dan simpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum di potong dan dihidang.
  15. Masa untuk mengukus kek ini dalam 3 1/2 - 4 jam lamanya menggunakan api sederhana.





BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>