Wednesday, August 2, 2017

~ Resipi Asam Pedas Daging...

Sheery Dream Cakes | 9:34 AM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Resipi asam pedas daging ini milik Che Mat Gebu. Sesiapa yang pernah mencubanya mesti tahu yang resipi ni memang sangat sedap. Diana sudah beberapa kali memasak asam pedas daging menggunakan resipi ni. Semasa rumah terbuka Raya Aidilfitri anak perempuan Diana baru-baru ni pun Diana masak asam pedas daging menggunakan resipi Che Mat Gebu ni. Memang ramai yang kata sedap. Tetamu ketika itu rata-rata suka makan asam pedas daging ni. Ada antara mereka yang bertanyakan resipinya. 

Kepada yang ingin mencubanya bolehlah semak resipinya di bawah ya. Buat Che Mat Gebu, terima kasih di atas kesudian Che Mat berkongsi resipi yang sedap ini. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya. Terima kasih.


ASAM PEDAS DAGING

Bahan-Bahan
  • 600 gram daging lembu
  • 1 batang serai, diketuk
  • 1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
  • 1 genggam daun kesom
  • 1 camca teh lada hitam kisar
  • 2 senduk nasi cili kisar
  • 3/4 camca teh serbuk kunyit
  • 1/2 camca teh pes asam jawa (atau secukup rasa)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Air secukupnya

Bahan-Bahan Kisar Halus
  • 7 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas

Cara-Cara
  1. Daging dihiris nipis, cuci dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk ( anggaran 1/3 cawan ). Tumis serai dan bahan-bahan kisar halus hingga harum, masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Tambah daging dan daun kesom, kacau hingga daging kecut. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masak hingga daging empuk ( jika daging masih keras dan kuah kering, tambah air sedikit air panas ). Masukkan pes asam jawa dan bunga kantan. Kacau dan biar mendidih.
  3. Perasakan dengan garam secukup rasa, sedikit gula dan lada hitam kisar. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk lain.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, August 1, 2017

~ Kek Kukus Lapis Horlicks Keju...

Sheery Dream Cakes | 12:31 PM | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali bersama resipi kek kukus pada hari ni. Kek kukus lapis merupakan salah satu kek kegemaran seisi keluarga. Oleh sebab masih banyak stock cream cheese di rumah ni dan kebetulan pula ada yang teringin nak makan kek kukus lapis, jadi Diana buatlah kek kukus lapis yang dicampurkan dengan cream cheese. 

Resipi kek kukus lapis ni memang tidak jauh bezanya dengan Kek Kukus Lapis Horlicks Oatmeal yang pernah Diana kongsikan dulu. Cuma bezanya kali ini Diana bubuh beberapa bahan lain di dalam resipi ini untuk mendapatkan kek kukus lapis yang lebih moist dari yang lepas. Kenapa Diana masih mengekalkan resipi ini dan hanya menambah beberapa bahan sahaja? Semestinya resipi kek kukus lapis inilah yang digemari seisi keluarga. Itulah sebabnya Diana masih menggunakan bahan-bahan asas resipi yang lepas.

Jom semak resipinya di bawah.

KEK KUKUS LAPIS HORLICKS KEJU

Bahan-Bahan
  • 10 biji telur
  • 300 gm mentega berkualiti tinggi _ ( Diana biasa guna Anchor, SCS atau Golden Churn )
  • 120 gm minyak sapi
  • 200 gm cream cheese
  • 190 gm gula kastor _ ( kurangkan sukatan gula jika tidak suka manis dan bubuh 220 gm jika suka manis )
  • 1 tin kecil susu pekat manis ( 390 gm )
  • 170 gm Nestle cream
  • 1 tin sederhana seri kaya Yeo's ( 300 gm )
  • 1 botol kecil jem strawberry ( 170 gm )
  • 130 gm Nestle cerelac bijirin bayi ( gandum & madu )
  • 220 gm biskut Hup Seng cream crackers yang telah dikisar halus
  • 200 gm horlicks
  • 50 gm haw flakes kisar


Cara-Cara
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil / tuala bersih semasa mengukus kek. 
  2. Asingkan putih dan kuning telur. 
  3. Pukul putih telur bersama gula kastor sehingga kembang. Ketepikan.
  4. Kemudian pukul mentega bersama minyak sapi dan cram cheese sehingga sebati.
  5. Masukkan kuning telur dan pukul hingga kembang.
  6. Setelah itu, campurkan adunan putih telur dan gula halus tadi. Pukul rata.
  7. Masukkan Nestle cream dan pukul lagi hingga sebati.
  8. Masukkan susu pekat manis, seri kaya, jem strawberry, cerelac, biskut cream crackers kisar, haw flakes kisar serta horlicks. Pukul lagi hingga rata.
  9. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Warnakan adunan dengan warna pilihan pada setiap bahagian.
  10. Tuangkan satu adunan dan masukkan ke dalam loyang bersaiz 8" yang telah dialas dengan aluminium foil. Kukus sehingga kek masak.
  11. Setelah itu cucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester pada kek dan tekan dengan lembut dengan sudu plastik lembut. Lapis lagi dengan satu adunan warna berlainan dan kukus sehingga adunan kek masak.
  12. Buat begini sehingga adunan kek habis.
  13. Jangan lupa setiap kali kita membuat kek kukus, hendaklah dicucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester dan tekan secara lembut dengan sudu plastik sebelum melapis adunan seterusnya. 
  14. Untuk lapisan terakhir, masa mengukusnya hendaklah ditambah selama 30 minit supaya kek masak sekata secara keseluruhannya.
  15. Sejukkan dan simpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum di potong dan dihidang.
  16. Masa untuk mengukus kek ini dalam 3 1/2 - 4 jam lamanya menggunakan api sederhana.

** NOTA ~
  • Kita boleh mengurangkan masa mengukus dengan melapis adunan kek ini nipis-nipis.
  • Sukatan gulanya tu boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing. 



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, July 22, 2017

~ Resipi Nasi Tomato, Ayam Masak Merah & Acar Timun Mentah...

Sheery Dream Cakes | 11:50 AM | | | 1 Comment so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Tomato biasanya dihidang semasa majlis perkahwinan, majlis sambutan rumah terbuka di hari perayaan atau ketika keramaian majlis keluarga. Ianya sesuai juga dihidang untuk makan malam atau menu makan tengahari seisi keluarga.

Nasi tomato merupakan menu makan malam kami seisi keluarga beberapa hari yang lepas. Digandingkan bersama ayam masak merah dan acar timun mentah. Nasi tomato ini sesuai juga dimakan bersama pajeri nanas. Tetapi di rumah ni hanya suami Diana sahaja yang suka makan pajeri nanas. Tu yang gandingkan sahaja nasi tomato ni bersama acar timun mentah.

Resipi nasi tomato ini Diana ikut dari blog Akak Ummi. Nasi ni memang sedap di tekak kami seisi keluarga. Memang berbaloi mencubanya. Jika anda ingin mencubanya, bolehlah rujuk resipinya di bawah ya.

Terima kasih buat Akak Ummi kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih.

:: Resipi Oleh ~ Akak Ummi Zaihadi @ Home Sweet Home  ( TQ )

NASI TOMATO 

Bahan-Bahan
  • 3 1/2 cawan beras basmathi Moghul Faiza - basuh dan rendam 15 minit. Toskan. 
  • 4 1/2 cawan air
  • 1 cawan susu sejat Ideal 
  • 2 biji tomato - didadu kecil 
  • 4 sudu besar pes tomato 
  • 2 helai daun pandan - disimpul 
  • 1 sudu besar garam kasar 
  • 4 sudu besar minyak sapi Ghee 
  • 1 cawan kismis
  • 1 cawan gajus yg digoreng / dipanggang 
  • Bawang goreng secukupnya


Bahan Tumis
  • 2 batang kulit kayu manis 
  • 2 kuntum bunga lawang 
  • 3 biji buah pelaga 
  • 7 biji bawang merah - dimayang nipis 


Cara Memasak
  1. Panaskan minyak sapi dalam periuk dan tumiskan bahan tumis hingga naik bau. 
  2. Masukkan tomato, pes tomato dan kacau sebentar. 
  3. Masukkan beras basmathi dan daun pandan. Gaul rata sekejap. 
  4. Masukkan air, susu sejat dan garam. Kacau perlahan sekejap dan biar nampak mendidih sikit. 
  5. Tuangkan ke dalam periuk nasi elektrik ( rice cooker ) dan masak nasi seperti biasa. ( *akak terus tumis dalam periuk elektrik tersebut dan alihkan untuk masak seperti biasa ). 
  6. Bila nasi sudah kering, kaup nasi perlahan-lahan dari bawah ke atas, rata perlahan dan tabur kismis dan gajus. 
  7. Biarkan nasi masak elok. 
  8. Hidangkan dengan taburan bawang goreng, ayam merah tomato dan acar masak atau ( klik untuk resipinya )  acar timun mentah.

Ayam Masak Merah ni memag kegemaran Diana sejak kecil lagi. Diana jenis yang suka makan ayam masak merah yang dicampur dengan sedikit rempah kari. Biasa juga kita jumpa ayam masak merah seperti ini di majlis-majlis perkahwinan dan kenduri sekampung di sini. Cuma Diana jarang memasak ayam masak merah ni sejak beberapa tahun yang lalu. Anak kecil Diana memang kurang suka makan apa sahaja jenis menu yang dimasak merah. Tak kiralah ayam, daging atau makanan laut. Tetapi beberapa hari yang lepas, ada yang teringin nak makan ayam masak merah ni bersama nasi tomato. Baiklah, apa kata kita semak resipinya pula.

:: Resipi Oleh ~ skybluemelleymey

AYAM MASAK MERAH

Bahan-Bahan A
  • 1 ekor ayam _buangkan kulit dan dipotong ikut citarasa
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Bahan-Bahan B ( Dikisar halus )
  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai

Bahan-Bahan C 
  • 2 biji bawang merah _ dihiris nipis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang

Bahan-Bahan D
  • 2 tbsp serbuk kari daging + sedikit air _ ( Diana biasa guna serbuk kari Adabi atau Baba's ) 
  • 2 tbsp sos tomato Maggi _ ( boleh gantikan dengan tomato puri )
  • 1/2 cawan sos cili Maggi _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing
  • 3 tbsp cili boh
  • 1/2 tsp serbuk jintan putih
  • 1/2 tsp serbuk jintan manis
  • 1/2 cawan air atau secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Gula
  • Paste asam jawa jika suka _ ( optional )

Bahan-Bahan E
  • 1 biji bawang besar _ dihiris bulat
  • Daun sup _ dihiris
  • Cili merah  _ buangkan bijinya dan dihiris 
  • Kacang peas frozen atau yang di dalam tin
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis


Cara-Cara
  1. Campurkan kesemua bahan-bahan A dan gaul rata. Perap 10 minit.
  2. Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak tetepi jangan terlalu garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali yang lain. Masukkan bahan-bahan C sehingga wangi.
  4. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan tumis lagi hingga garing.
  5. Masukkan bancuhan serbuk kari, cili boh, serbuk jintan manis dan jintan putih. Gaul dan masak sehingga kari betul-betul masak dan terbit minyak.
  6. Masukkan sos cili, sos tomato / tomato puri, sedikit garam, gula dan jika suka boleh bubuh sedikit paste asam jawa. Gaul rata. Masak sehingga semua bahan mesra.
  7. Tambahkan air, ayam goreng dan kacang peas frozen. Gaul rata dan masak sehingga mendidih dan kuahnya pekat.
  8. Akhir sekali bolehlah dimasukkan hirisan bawang besar dan cili merah. Gaul dan masak seketika.
  9. Tutupkan api dan taburkan hirisan daun sup.
  10. Hidang.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, July 18, 2017

~ Resipi Kek Batik...

Sheery Dream Cakes | 4:22 PM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali bersama resipi Kek Batik lagi. Cuma untuk kali ini, Diana ingin kongsikan resipi olahan terbaru. Mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya atau mungkin hairan kenapa sejak dulu lagi Diana suka kongsikan resipi Kek Batik di blog Diana ni. Sebenarnya Kek Batik merupakan kek kegemaran kami seisi keluarga. Jadi, itulah sebabnya kenapa Kek Batik mempunyai resipi pelbagai versi di blog ini ya.

Jika anda ingin tengok resipi-resipi Kek Batik yang lain, anda boleh klik DI SINI. Anda boleh rujuk resipinya pada link yang Diana berikan itu ya.

Untuk resipi Kek Batik kali ini, tiada jauh bezanya dengan resipi Kek Batik Horlicks Pandan. Ada beberapa bahan sahaja yang membezakannya. Nak tau apakah bahan-bahan tersebut, apa kata kita semak resipi olahan terbaru untuk Kek Batik ni.


Boleh tengok cara menyediakannya di youtube channel Melley Mey


KEK BATIK 

Bahan-Bahan
  • 340 gm mentega
  • 220 gm gula kastor
  • 10 biji telur
  • 260 gm tepung gandum ( diayak )
  • 320 gm susu pekat manis
  • 220 gm milo
  • 200 gm horlicks
  • 3 tbsp nutella _ boleh skip jika tidak suka bubuh nutella
  • 1/2 botol browning sugar ( 1 botol =140 gm ) _ jika suka boleh bubuh 3/4  atau 1 botol
  • 60 gm Nestle nestum original 
  • 1 bungkus biskut Marie Munchy's original atau secukup kegunaan

Cara-Cara
  1. Pukul gula bersama mentega hingga kembang.
  2. Kemudian masukkan telur dan pukul lagi hingga sebati.
  3. Masukkan susu pekat dan pukul lagi.
  4. Tambahkan tepung gandum, horlicks, milo, nestum dan nutella. Pukul adunan hingga sebati.
  5. Masukkan browning sugar dan pukul rata.
  6. Tuangkan adunan ke dalam kuali dan masak sehingga adunan pekat ( rujuk SINI cara memasaknya ).
  7. Tutupkan api. Kemudian masukkan biskut marie dan gaul perlahan.
  8. Masukkan adunan kek tadi ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil dan tekan kek sehingga rata dan padat.
  9. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong. Lebih elok jika dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk.
  10. ** Cara lain untuk melapis kek ~ Sediakan loyang yang telah dilapis dengan aluminium foil dan letakkan sedikit adunan kek tadi. Ratakan.
  11. Kemudian susun biskut marie di atasnya. Lapiskan berselang seli sehingga adunan habis.
  12. Simpan di dalam peti ais sebelum dipotong. 




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>