Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Tuesday, July 31, 2012

~ Ayam Mentega Udang Kering...

Sheery Dream Cakes | 1:04 PM | 17 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..  

Alhamdulillah.. Bersua lagi kita di alam maya pada entri kali ni.. Diana mohon ampun dan maaf kerana masih belum sempat BW serta aktif berblog seperti biasa... InsyaAllah sedikit masa lagi jika diizinkan pasti SBK akan aktif seperti biasa... Terima kasih kepada semua yang sudi singgah dan memberi komen kat SBK ni walaupun tuan rumahnya tiada.. Terima kasih.. 

Tanpa membuang masa.. apa kata kita terus jer tengok resipi terbaru dari SBK untuk kali ni.. Ayam Mentega Udang Kering ni Diana masak beberapa hari yang lepas.. Mungkin kepada sesiapa yang inginkan kelainan dalam citasa untuk menu ayam ni, boleh ler mencubanya.. Anda boleh ler mengolah mengikut citarasa keluarga anda ya.. tiada masalah pun.. :). Diana harap menu terbaru dari SBK ni akan memenuhi citarasa kepada pengemar udang kering dan ayam.. InsyaAllah.. :). Selamat mencuba... ;)

AYAM MENTEGA UDANG KERING


Bahan-Bahan 
  • 550 gm isi ayam _ ( Diana guna peha ayam yang dibuang kulit dan tulangnya )
  • 1 biji bawang besar _ 1/2 biji dipotong dadu halus dan 1/2 biji dihiris menyerong
  • 4 ulas bawang putih _ dicincang
  • 3 tangkai daun kari _ dihiris / dicincang
  • 3 biji cili padi _ dihiris / ditumbuk _ ( boleh dikurang atau ditambah mengikut citarasa masing² )
  • 2 biji telur _ dipukul ringan
  • Segenggam udang kering _ direndam dalam air panas, toskan dan ditumbuk kasar
  • 50 gm mentega
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan-Bahan A ( Bahan Perap )
  • 1 tbsp sos tiram Maggi
  • 1/2 tbsp sos lada hitam Maggi
  • 1 tbsp sos cili Maggi
  • 1/2 tsp seasoning maggi
  • 1 tsp gula 
  • 1/2 tbsp tepung jagung
  • 1/2 tsp ubi kayu
  • 1/2 tbsp tepung beras 
  • 1 tsp daun basil kering
  • 1/4 tsp perencah pati ayam Tumix
  • 1/2 biji telur yang dipukul ringan

Bahan-Bahan B
  • 1 1/2 tbsp sos cili Maggi
  • 1 tbsp sos tomato Maggi
  • 1/2 tsp perencah pati ayam Tumix
  • Gula melaka secukup rasa
  • Garam jika perlu

Cara-Cara
  1. Gaulkan isi ayam bersama bahan² A ( bahan perap ) dan perap selama 1 jam ( Diana perap 1 1/2 jam, lebih lama kita perap lebih elok ). 
  2. Kemudian goreng ayam hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  3. Cairkan mentega di dalam kuali. Setelah mentega panas masukkan 2 biji telur yang telah dipukul ringan ( buat seperti kita buat untuk udang mentega ). Setelah garing angkat dan toskan. Ketepikan.
  4. Di dalam kuali yang sama, masukkan bawang putih dan bawang besar yang dipotong dadu. Tumis hingga wangi.
  5. Kemudian masukkan udang kering serta cili padi dan tumis lagi hingga garing.
  6. Setelah itu masukkan daun kari dan tumis seketika.
  7. Masukkan bahan² B dan tumis hingga pecah minyak.
  8. Masukkan ayam goreng tadi dan hirisan bawang besar. 
  9. Gaul dan masak seketika.
  10. Masukkan telur goreng dan gaul rata.
  11. Angkat dan hidang bersama nasi putih panas.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Friday, June 15, 2012

~ Nasi Ayam...

Sheery Dream Cakes | 5:43 PM | | 13 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sayang semua... 

Entri kali ni entri pendek.. Hehehee... Sebab masa tak cukup untuk Diana bercerita panjang.. Huhuuu.. InsyaAllah malam nanti Diana akan online semula ya. Ada kerja sedang menanti sekarang ni.. Curi sedikit masa untuk update entri ni sekejap.. Terima kasih kepada yang sudi singgah di SBK ni.. Petang esok baru dapat Diana membuat kunjungan balas.. InsyaAllah.. 


Nasi Ayam SBK ni mungkin berlainan sedikit dengan Nasi Ayam yang lain sebab ayamnya tu perlu digoreng dengan 3 jenis tepung kemudian ditumis dengan bawang, kicap dan cili padi.. 

Jom tengok resipinya... 



Ooo yer... Lupa pula bagitahu.. Kepada sesiapa yang inbox Diana tu tentang lanjutan entri photography.. InsyaAllah akan Diana usahakan secepat mungkin.. Terima kasih kerana sudi membaca.. :)



NASI AYAM


Bahan-Bahan Untuk Nasi
  • 300 gm beras basmathi
  • 500 ml air rebusan ayam _ ( ambil bahannya sekali kecuali ayam )
  • 1 kiub pati ayam Maggi
  • Garam secukup rasa

Cara-Cara
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Kemudian toskan.
  2. Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik dan tambahkan air rebusan ayam, kiub pati ayam dan garam secukup rasa.
  3. Masak seperti biasa.


Bahan-Bahan Untuk Ayam
  • 2 keping peha ayam _ dikelar sedikit
  • 2 inci halia _ dihiris kasar
  • 2 tangkai daun sup _ dihiris kasar
  • 2 tbsp sos tiram Maggi
  • 2 tsp kicap cair Loon kee
  • 1 tsp minyak bijan
  • 1100 ml air 

Bahan_Bahan A ( Digaul rata )
  • 2 tbsp tepung jagung
  • 2 tbsp tepung kastard
  • 2 tbsp tepung ubi kayu

Bahan-Bahan B
  • 2 biji kuning telur + sedikit garam _ dipukul ringan
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

Bahan-Bahan C
  • 8 ulas bawang putih _ dicincang
  • 2 ulas bawang merah _ dicincang
  • 1 biji bawang besar _ dipotong dadu
  • 5 biji cili padi _ dihiris _ ( boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • Beberapa batang daun bawang _ dihiris
  • 1 tsp kicap pekat _ ( Diana guna Karamel pekat Loon Kee )
  • 1/2 tsp perencah pati ayam Tumix
  • Gula secukup rasa
  • Garam jika perlu

Cara-Cara
  1. Gaulkan ayam bersama halia, daun sup, sos tiram, kicap cair dan minyak bijan. Perap sekurang-kurangnya 1 jam ( Diana perap selama 4 jam ).
  2. Masukkan ayam bersama air ke dalam periuk dan masak sehingga ayam separuh masak.
  3. Keluarkan ayam dan ketepikan.
  4. Tapis air rebusan ayam dan ambil 500 ml air rebusan untuk dicampurkan bersama beras ( resipi nasi rujuk kat atas ).
  5. Simpan juga bahan yang lain ( hirisan halia, daun sup ) untuk dicampur ke dalam beras.
  6. Kemudian hiris ayam menjadi hirisan kecil ( Buangkan tulangnya ). Campurkan dengan kuning telur dan gaul rata.
  7. Masukkan bahan-bahan A dan gaul sebati.
  8. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali / periuk. Goreng ayam hingga masak kekuningan ( terpulanglah pada citarasa masing-masing nak garing atau tidak ).
  9. Angkat dan ketepikan.
  10. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
  11. Masukkan bawang merah, bawang putih dan tumis hingga sedikit garing.
  12. Masukkan cili padi, bawang besar, ayam goreng, kicap pekat, perencah pati ayam, gula secukup rasa dan garam jika perlu.
  13. Gaul rata dan sesuaikan rasa.
  14. Masukkan hirisan daun bawang dan gaul.
  15. Angkat dan hidang bersama nasi di atas.






BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, June 5, 2012

~ Pais Ayam Temasek...

Sheery Dream Cakes | 3:03 PM | 14 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sayang kepada semua pengunjung SBK yang dikasihi.. 

Moga semua urusan kita hari ni dipermudahkan olehNya.. Cuaca hari ni di Labuan memang kurang elok.. Hujan lebat dan angin kencang pagi tadi.. Sekarang ni hujan dah berhenti namun masih lagi mendung.. Jadi kepada yang berhajat nak ke laut tu.. Pastikan ombak tak kuat ya.. Begitu juga yang memandu.. Walaupun hujan dah berhenti.. Jangan pandu laju-laju tau.. Jalan masih licin tu... 


Kemarin Diana buat Pais Ayam Temasek ni.. Kebetulan sama pula menu kat rumah ni dengan Che Mat Gebu... Hehehee... Cuma Diana baru sempat kongsikannya hari ni.. Pais Ayam Temasek ni sesangat sedaaaap... Memang berbaloi mencubanya.. Siapa tak cuba tu memang rugi... Diana masak 2 ekor.. Seekor Diana bakar dan seekor lagi Diana tak bakar.. Keduanya sedap... Cuma yang dibungkus dalam daun pisang dan dibakar tu memang harum.. :). Makan ketika ianya masih panas lagi... Seeedaaaappp!!! ^__^. Terima kasih kepada Akak Ayu kerana mengetengahkan resipi ni... Terima kasih juga kepada tuan empunya resipi kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni.. Izinkan Diana pula kongsikannya kat SBK ni ya... Terima kasih... 
Jom tengok resipinya.. Nak jemput makan memang dah habis dah... Hehheee.. Kali ni kita tengok gambar versi orang sibuk ambil pula.. Hehheee.. Ambil gambar ni semua memang dalam kelam kabut.. Huhuuu.. 


:: Resipi Oleh ~ Puan Aini Salim  (TQ )



PAIS AYAM TEMASEK


Bahan-Bahan 
  • 1 ekor ayam _ dibelah dua dan dibersihkan _ ( Diana buang kulitnya dan potong kecil² )
  • 1 helai daun kunyit _ dihiris halus
  • 2 helai daun limau purut _ disiat
  • 2 cawan santan ( 1 biji kelapa )
  • 2 camca besar gula melaka atau secukup rasa
  • 1 camca besar pes asam jawa + 1/2 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • Perasa _ ( Diana gantikan dengan Perencah pati ayam Tumix )
  • Daun pisang secukupnya 

Bahan-Bahan Kisar ( Diana kisar guna Food Processor )
  • 15 tangkai cili kering _ ( Diana bubuh 13 tangkai cili kering )
  • 12 ulas bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • 8 biji buah keras
  • 1 cm lengkuas
  • Kunyit hidup sebesar ibu jari _ ( Diana tambah )
  • 1 batang serai _ ( Diana bubuh 2 batang serai )
  • Cili padi _ ( pilihan )
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu teh serbuk jintan putih

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga garing dan terbit minyak, guna api perlahan dan kacau selalu. 
  2. Masukkan daun limau purut, jus asam jawa, santan, gula melaka dan kacau rata. Masak sekejap.
  3. Masukkan ayam dan gaul rata. Tambah garam dan perasa / perencah pati ayam secukupnya, masak hingga pekat dan hampir kering. 
  4. Sediakan daun pisang, letak ayam tadi dan tabur dengan hirisan daun kunyit. 
  5. Bungkus dan semat dengan lidi.
  6. Bakar dalam oven 15 - 20 minit atau hingga perang keemasan, suhu sekitar 190°C.
  7. Hidangkan panas bersama nasi. 

Diana letak catatan Mat Gebu kat sini ya.. 

:: CATATAN MAT GEBU ~  Mat buat 4 bungkusan dan setiap satu berisi dengan 2 ketul ayam. Daun pisang mat layur sekejap atas api, untuk mengelakkan ia pecah ketika membungkus pais ayam tadi. Selamat mencuba!!...





BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, May 15, 2012

~ Nasi Komok ( Khao Mok Gai )...

Sheery Dream Cakes | 10:49 AM | | | 19 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera... 

Nasi Komok ni memang dah ramai yang mencubanya kan. Tertarik dengan resipi ni, Diana masak untuk seisi keluarga tempoh hari. Sedap dan terima kasih kepada tuan empunya resipi dan semua yang telah mengetengahkan resipi yang sedaaap ni.. Izinkan Diana pula kongsikannya di sini ya. Ada sedikit bahan yang Diana tambah.. Halal yer.. Terima kasih.. 


:: Resipi Asal ~ Azian @ Azian Collections  ( TQ )
:: Sumber Dari ~ Akak Ayu @ Curlybabe's SatisfactionAlong @ HomeKreationTun @ Life is a constant battleHaSue @ I Love My LifeAnna @ Anna QawinaSiti Aisya @ Aisya Khuzaimah dan semua yang pernah mengetengahkannya  ( TQ )



NASI KOMOK ( KHAO MOK GAI )

Bahan-Bahan Rempah Komok
  • 2 tsp serbuk kari ayam / daging _ ( Diana guna rempah daging Baba's )
  • 1 tsp serbuk kunyit
  • 1 tsp serbuk ketumbar
  • 1/2 tsp serbuk jintan putih
  • 1/2 tsp serbuk jintan manis
  • 1/2 tsp serbuk kayu manis
  • 1 tsp garam
  • 1 tbsp gula

Bahan-Bahan
  • 5 cawan beras basmathi
  • 4 sudu minyak sapi _ ( Diana guna 4 tbsp minyak zaitun )
  • 4 - 5 ulas bawang merah*
  • 1 Inci halia*
  • 4 Ulas bawang putih*
  • 3 batang akar ketumbar
  • 2 - 3 sudu rempah komok _ ( Rujuk bahan Rempah Komok di atas. Diana bubuh kesemuanya )
  • 200 ml susu cair
  • 1 ekor ayam
  • 8 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • Rempah penumis ~ 1 batang kulit kayu manis, 2 bunga lawang, 3 biji pelaga, 4 biji bunga cengkih
  • Bawang goreng

Bahan-Bahan yang Diana Tambah
1 kiub pati ayam Maggi
Biji gajus goreng
Kismis 

( Hiris benda bertanda)


Cara -Cara
  1. Cuci ayam ( seeloknya di potong 4 saja )
  2. Cuci beras basmathi dan rendam sebentar.
  3. Hiris nipis bahan bertanda *
  4. Tumis rempah penumis dan bahan yang dihiris dengan minyak sapi / minyak zaitun hingga naik bau.
  5. Masukkan rempah komok dan kacau selalu supaya tidak hangus. Setelah nampak garing masukkan air dan akar ketumbar. 
  6. Masukkan ayam dan rebus ayam hingga hampir masak.
  7. Angkat ayam dan toskan. Lumurkan ayam dengan garam dan kunyit ( Diana lumur ayam dengan serbuk cili, halia tumbuk, garam, sedikit asam jawa, sos manis ABC dan tepung jagung ). Perap sebentar biar ia mesra. Goreng ayam yang di perap samada garing atau tidak ikut citarasa sendiri. 
  8. Keluarkan 1 cawan kuah tadi untuk sos cili.
  9. Masukkan kuah ke dalam periuk nasi dan masukkan susu. Biar ia menggelegak sambil di kacau. Masukkan garam secukup rasa.
  10. Masukkan pula beras yg telah di toskan.Tutup dan biarkan ia masak.
  11. ** Cara Diana pula ~ Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik. Kemudian masukkan 6 cawan kuah, susu cair, garam secukup rasa serta kuib ayam. Gaul rata dan masak seperti biasa. Setelah petunjuk masa kat periuk nasi menunjukkan 4 minit lagi nasi hendak masak, masukkan biji gajus goreng dan kismis. Tutup penutup periuk semula dan biarkan nasi masak. Setelah nasi masak, biarkan seketika sebelum digemburkan. Sedia untuk dihidang.

Bahan-Bahan Sos Cili
  • 1 Cawan air kuah nasi komok* _ ( sedikit halia dari kuah pun Ayu masukkan )
  • 6 biji cili merah*
  • Segenggam cili padi*_ ( Ayu tambah ) 
  • 4 ulas bawang merah_ ( Ayu tambah )
  • 2 Ulas bawang putih*
  • 4 tangkai daun ketumbar*
  • Gula, garam ,cuka _ secukup rasa

Cara-Cara

  1. Kisar semua bahan bertanda *.
  2. Masak hingga agak pekat.
  3. Perasakan ia dengan garam, gula dan cuka secukup rasa.
  4. Hidang bersama nasi komok.





BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Thursday, April 26, 2012

~ Ayam Laksamana...

Sheery Dream Cakes | 9:44 AM | 12 Comments so far
Assalamualaikum dan bertemu kembali... 

Untuk entri kedua ni Diana ingin sajikan dengan resipi dari CMG... Resipi diberi nama Ayam Laksamana... Wah klasik gitu nama resipi ni kan... Rasanya tersangat la sedaaapnya. Anda pasti akan jatuh cinta dengan resipi ni.. Percayalah...

Ayam Laksmana ni dah lama sangat dah habis... Diana masak pada awal bulan nie. Masak pada 3hb April hari tu.. Terlupa pula nak kongsikannya di sini..  Sesiapa yang pernah cuba Ayam Ros Pandan resipi CMG juga... Lebih kurang macam tu ler rasanya.. Ayam Ros Pandan tu memang dah menjadi resipi fav kami sekeluarga... Dan yang terbaru ni pula Ayam Laksamana ni pun dah termasuk dalam senarai menu fav kami sekeluarga.. Anak-anak memang suka sangat makan ayam ni... Tak henti-henti mereka memuji kesedapannya. Terima kasih CMG kerana berkongsi resipi-resipi yang sedap... Izinkan juga Diana kongsikan resipi Ayam Laksamana ni di sini ya.. Terima kasih... 


:: Resipi Oleh ~ Che Mat Gebu @ Dapur Tanpa Sempadan  ( TQ )


AYAM LAKSAMANA

Bahan-Bahan
  • 1 ekor ayam, saiz sederhana, potong ikut suka
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit garam
  • 1 camca besar gula melaka
  • 1/2 cawan sos tomato
  • 3 camca besar sos cili
  • 1 senduk nasi cili kisar
  • 1 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • 1 helai daun pandan, disimpul
  • 1 genggam kismis
  • 1 camca besar bawang goreng
  • 1 pokok daun ketumbar, potong kasar-kasar
  • Sedikit gajus dan kacang pis untuk hiasan

Bahan Kisar Halus
  • 2 biji bawang besar saiz sederhana
  • 4 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • 2 batang serai, hiris halus
  • 3 biji buah keras
  • 1 camca besar ketumbar
  • 1 camca teh jintan kasar
  • 1 camca teh jintan halus
  • 1/2 biji pala, diparut ( nutmeg )

Cara Membuatnya
  1. Ayam dibuang kulit, cuci bersih dan kelar-kelar sedikit. Gaul dengan serbuk kunyit dan sedikit garam. Perap 10 minit. Goreng ayam tadi, tapi jangan sampai garing, biar lembap-lembap saja. Angkat dan tos, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus dan daun pandan hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing, tambah sos tomato dan sos cili, kacau rata dan masak hingga terbit minyak.
  3. Masukkan ayam dan kismis, gaul rata-rata dan tuang air. Kacau dan biar pekat, tambah garam secukup rasa dan gula melaka. Masukkan daun ketumbar dan bawang goreng, gaul dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur gajus dan kacang pis sebelum dihidangkan...




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Friday, March 16, 2012

~ Ayam Masak Lemon...

Sheery Dream Cakes | 3:25 PM | 14 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sayang semua... 

Ni merupakan entri terakhir untuk minggu ni dan tiada entri terbaru untuk seminggu yang akan datang... Mungkin juga 2 minggu kan.... Sekali lagi SBK terpaksa berehat.. Mungkin kali ni agak lama sedikit.. Tu sebabnya Diana kena kongsikan beberapa resipi hari ni.. Kalau tak d kongsikan pasti bertambah lagi ler entri tertangguh nanti kan.. Untuk hari niecukup ler 4 resipi d kongsi bersama.. :).. InsyaAllah setelah kembalinya SBK dari bercuti nanti pasti akan ada resipi d kongsi lagi yer.. 


Ok ler jom kita tengok resipi ulang tayang ni.. Kalau nak tengok entri lepas boleh ler klik kat SINI yer... 


AYAM MASAK LEMON

Bahan-Bahan A
  • 4 keping dada ayam _ belah bahagian yang tebal tapi jangan putus
  • 1 tbsp sos lada hitam Life
  • 1 tbsp sos plum Loon Kee
  • 1/2 tbsp gula
  • 1 biji kuning telur
  • 1/2 biji parutan kulit lemon
  • 2 tbsp tepung kastard
  • 1 1/2 tbsp tepung ubi kayu
  • 1/2 tsp minyak bijan
  • 1/2 tsp perencah pati ayam Tumix
  • Garam 

Bahan-Bahan B ( Dicampurkan ) Boleh Digandakan adunan ini
  • 1/2 cawan tepung jagung
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 1 1/2 tsp biji bijan

Bahan-Bahan C ( Untuk Sosnya )
  • 6 ulas bawang putih _ dicincang
  • 4 ulas bawang merah _ dicincang
  • 1 inci halia _ dicincang
  • 4 - 4 1/2 tbsp jus lemon _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing
  • 3 - 3 1/2 tbsp sos plum Loon Kee _ mengikut citarasa masing-masing. Jika suka boleh bubuh 4 tbsp
  • 2 tbsp sos tiram Maggi
  • 1 1/2 cawan air
  • Gula 
  • Garam secukup rasa

Bahan-Bahan Lain
  • Sedikit tepung jagung + sedikit air untuk pemekat
  • 1/2 biji lemon _ dihiris nipis
  • Minyak


Cara-Cara

  1. Campurkan kesemua bahan-bahan A dan perap selama 30 minit - 1 jam.
  2. Kemudian saluti ayam dengan bahan-bahan B dan goreng ayam sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
  3. Sementara itu bolehlah sediakan sosnya. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
  4. Masukkan bahan-bahan sos selebihnya dan biarkan hingga ianya mendidih.
  5. Tambahkan bancuhan tepung jagung, gula dan garam secukup rasa.
  6. Didihkan seketika dan bolehlah ditutupkan api.
  7. Tuangkan di atas ayam goreng tadi yang telah dipotong dan disusun di atas pinggan bersama hirisan lemon.


Selain menggunakan dada ayam.. Kita juga boleh tukarkannya kepada bahagian peha ayam... Paha ayam itu di buangkan kulit dan tulangnya. Kemudian dipotong kecil dan nipis.. Hasil masakannya adalah seperti gambar ini ya..






BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Friday, February 24, 2012

~ Salad Ayam...

Sheery Dream Cakes | 7:39 AM | 11 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.. 

Dalam minggu ni sebenarnya Diana agak sibuk sedikit... Alhamdulillah.. Sibuk tu rezeki namanya kan.. :). Segala urusan dah  hampir selesai.. Maka hari ni bolehlah  online sekejap.. 

Baiklah.. Untuk kali ni Diana nak kongsikan resipi ulangtayang sebenarnya. Dulu pernah dah Diana kongsikannya di sini.. Cuma masa tu resipinya Diana hanya berikan resipi campak-campak sahaja. Oleh kerana beberapa hari ni agak sibuk , maka masak pun yang mudah-mudah saja. Nak sediakannya pun tak susah.. Jom semak resipinya.



SALAD AYAM

Bahan-Bahan A
  • 500 gm isi ayam _  dipotong kecil ( Diana guna paha ayam yang telah dibuangkan kulit dan tulangnya )
  • 2 tbsp tepung jagung
  • 1 biji kuning telur
  • 1 tsp serbuk lada hitam
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan-Bahan B
  • 1/2 biji bawang bombay _ dihiris halus
  • 2 biji tomato _ buangkan bijinya dan dipotong 12 
  • 1 batang serai _ dihiris halus ( ambil bahagian yang putih sahaja )
  • 1 biji cili merah _ buangkan bijinya dan dihiris halus
  • 1 - 2 biji cili padi _ dihiris ( boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • 2 tangkai daun sup atau daun ketumbar _ dihiris halus
  • 3 tbsp jus limau kasturi
  • 2 1/2 tbsp sos cili Maggi
  • 1 tbsp sos tomato

Bahan-Bahan lain
  • Daun salad
  • Minyak untuk menggoreng
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-Cara
  1. Campurkan kesemua bahan-bahan A dan gaul rata. 
  2. Perap selama 30 minit - 1 jam ( Diana perap selama 1 jam ).
  3. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng ayam sehingga masak.
  4. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  5. Kemudian satukan kesemua bahan-bahan B di dalam mangkuk besar.
  6. Masukkan ayam goreng dan gaul rata.
  7. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
  8. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidang bersama daun salad.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>